PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati teguran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta menghargai segala sumbangan yang telah baginda berikan dalam memajukan bola sepak di Malaysia.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kenyataan Tunku Mahkota Ismail bahawa Badan Pengadil mestilah bebas dan bukannya di bawah FAM akan diperhalusi oleh badan induk bola sepak negara itu.
“FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. FAM akan memperhalusi idea baginda berhubung dengan penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil-pengadil Liga Malaysia.
“FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka,” kata Sivasundaram mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Ismail menerusi aplikasi X (Twitter) pada Khamis, 30 Januari 2025.
Sivasundaram turut mengulas cadangan Tunku Mahkota Ismail supaya pasukan atau kelab yang tidak berpuas dengan keputusan pengadil untuk melantik atau membayar pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan mereka.
“Sekiranya ada pasukan yang tidak puas hati dengan prestasi pengadil tempatan, pasukan tersebut boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.
“Namun, bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri. FAM atau MFL tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara.
“Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (ASD),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Sivasundaram juga menjelaskan bahawa pengadil-pengadil yang bertugas di Liga Malaysia telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang di sepanjang saingan Liga Malaysia 2024-2025.
“Keberadaan pengadil dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang baik serta tahap kecergasan yang tinggi dengan dibantu oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) telah membuktikan kecemerlangannya. Setakat ini, FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan.
“Pengadil-pengadil FIFA dari negara ini telah diiktiraf oleh AFC dan FIFA. Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua’zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan ‘AFC Elite Champion League’. Nazmi merupakan salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.
“FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang telah dididik melalui Projek Akademi Pengadil Profesional,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Sivasundaram berkata, perkembangan dan kemajuan Liga Malaysia amat bergantung kepada keberadaan kedudukan kewangan yang kukuh dan pengurusan pasukan yang terancang dan profesional.
“FAM akan sentiasa peka dan terbuka dengan semua idea yang membina sepertimana yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan terbaharunya itu,” katanya.