PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan kesilapan yang menjadi punca kepada isu penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berpunca daripada ralat pentadbiran.
Menurut FAM, insiden itu berlaku apabila seorang kakitangan telah tersilap memuat naik dokumen daripada ejen pemain dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error), apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh JPN,”kata kenyataan itu.
Kenyataan terbaharu FAM itu selari dengan penegasan badan induk itu sebelum ini yang menjelaskan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan pada 28 September lalu.
FAM turut sekali lagi menegaskan bahawa gambaran yang diberikan dalam keputusan penuh FIFA adalah tidak tepat, khususnya dakwaan bahawa pemain terlibat dalam mendapatkan atau mengetahui mengenai dokumen palsu.
“Dakwaan bahawa pemain memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
“Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.
“FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini, dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca .
Ringkasan AI
- FAM menjelaskan kesilapan penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA berpunca dari ralat pentadbiran
- Kesilapan terjadi apabila dokumen ejen pemain dimuat naik bukannya dokumen rasmi dari Jabatan Pendaftaran Negara
- Ralat tersebut disebabkan oleh salah laku dalam proses penyerahan dokumen pada 28 September lalu
- FAM menegaskan dakwaan pemain terlibat dalam dokumen palsu tidak tepat dan tidak berasas
- FAM komited mempertahankan integriti bola sepak negara dengan mengemukakan rayuan menggunakan dokumen sahih