firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sentuhan ‘magis’ mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin nyata masih diperlukan badan induk itu dalam membantu merangka strategi lebih mantap membangunkan bola sepak negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan, pengalaman luas dimiliki Hamidin dalam arena bola sepak negara masih boleh digunakan untuk sama-sama menyumbang.
Terdahulu, timbul ura-ura kemungkinan Hamidin bakal membuat kemunculan semula dengan beliau dikatakan bakal dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM.
“Memang daripada segi pengalaman beliau, kita perlukan sebab dia masih lagi Ahli Majlis Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sampai 2027 dan pengalamannya cukup luas.
“Manfaatnya banyak terutamanya daripada segi peruntukan disebabkan Tan Sri berada di situ, berkemungkinan kita dapat lebih (dana). Contohnya baru-baru ini, kita ditawarkan bertanding untuk pasukan bawah 16 tahun di Switzerland dan kita mewakili Asia daripada lapan pasukan bertanding.
“Itu salah satu kelebihan Tan Sri sebagai Ahli Majlis FIFA. Kalau nak katakan (perlukan Hamidin dalam FAM), memang perlu ada kerana pengalamannya.
“Kita perlukan penasihat yang banyak berkaitan dengan kejohanan di peringkat Asia dan Asean,” kata Noor Azman ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa FAM di Kuala Lumpur, semalam.
Untuk rekod, ketika ini Hamidin masih lagi memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Fifa selain turut memegang jawatan di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Dalam masa sama, Noor Azman juga optimis Hamidin sama sekali tidak akan membayangi Presiden FAM sedia ada, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sekiranya benar beliau akan kembali ke FAM nanti.
“Kehadirannya tidak akan (membayangi Presiden sedia ada) kerana di peringkat kita di FAM, kita ada Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO).
“Di peringkat luar contohnya di FIFA, hubungan yang dimiliki Hamidin lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd