Mohd Yusoff mengadakan sidang media susulan peletakan jawatan Mohd Joehari sebagai Presiden FAM di Wisma FAM pada Jumaat. Foto Bernama
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan wujud campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak dalam peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden badan induk itu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, keputusan Mohd Joehari adalah atas kehendak peribadi beliau tanpa dipengaruhi pihak luar.
“Tak ada timbul campur tangan. Ini keputusan peribadi beliau. Sama ada mahu meneruskan atau meninggalkan jawatan, itu keputusan individu. Saya tidak boleh jawab kenapa dan apa alasan lain.
“Tetapi kalau kita tengok, tiada apa-apa yang luar biasa berlaku. Urusan di FAM tetap berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, Jumaat.
Beliau berkata, keputusan Mohd Joehari perlu dihormati dan FAM mesti terus dipacu mengikut perlembagaan.
“Kenapa dan bagaimana, itu saya tak boleh jawab. Yang mustahak, kita dalam Exco patuh kepada perlembagaan.
“Kita bawa perkara ini ke mesyuarat Exco dan semua bersetuju serta menghormati keputusan beliau. Itu penting dalam sesebuah organisasi,” ujarnya.
Sebelum ini, FAM dalam satu kenyataan media mengesahkan Jawatankuasa Eksekutif FAM menerima peletakan jawatan Mohd Joehari dalam Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025–2029 yang berlangsung pada Rabu.
Ia menyaksikan Mohd Yusoff dilantik sebagai pemangku presiden sehingga kongres yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.
Namun, persoalan timbul apabila FAM tidak menjelaskan punca Mohd Joehari melepaskan jawatan tersebut selepas hanya beberapa bulan dilantik pada Februari lalu.