Mohd Joehari (gambar kecil) menafikan FAM pilih kasih terhadap skuad Harimau Malaya, sebaliknya semua pasukan termasuk B-23 dan wanita diberi layanan sama rata.
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tiada sebarang layanan istimewa atau pilih kasih diberikan kepada skuad Harimau Malaya sehingga mengabaikan pasukan lain di bawah kendalian mereka.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, semua pasukan tidak kira skuad Harimau Muda, wanita dan skuad muda lain mendapat layanan sama rata.
“Saya boleh beri jaminan sebagai presiden, setiap lapisan pasukan tidak kira skuad B-23 atau pasukan lain mendapat layanan yang sama rata.
“Saya sendiri turun padang bersama pasukan kebangsaan dan memastikan semua pasukan mendapat tahap layanan yang sama dari atas hingga ke bawah,” katanya.
Menurutnya, FAM sentiasa komited memastikan pembangunan bola sepak di semua peringkat umur diberi perhatian sewajarnya dan tiada sebarang bias terhadap mana-mana kategori umur.
Sebelum ini, prestasi hambar skuad B-23 di Kejohanan Piala ASEAN B-23 mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai tahap persiapan dan kualiti pasukan muda negara yang dilihat tidak sempurna.
Namun, situasi berbeza buat skuad Harimau Malaya yang diberikan penekanan dalam setiap aksi termasuk menyediakan perlawanan persahabatan bermutu tinggi.
Dalam kempen itu, skuad kendalian Nafuzi Zain hanya mengutip empat mata hasil satu kemenangan ke atas Brunei (7-1), seri tanpa jaringan dengan Indonesia dan tewas 0-2 kepada Filipina, sekali gus gagal melangkah ke pusingan seterusnya.
Mengulas perkara itu, Joehari tetap berpuas hati dengan prestasi dipamerkan skuad muda negara dan mengingatkan bahawa pasukan berkenaan masih baharu serta memerlukan masa untuk membina keserasian.
“Kita perlu ingat, skuad ini baru dibentuk dan juga dengan jurulatih yang baharu. Walaupun keputusan tidak memihak kepada kita ketika menentang Filipina, saya percaya mereka sudah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang kejohanan.
“Mungkin dari atas kertas kita lebih baik daripada Filipina, tapi tidak ada rezeki malam itu. Namun secara keseluruhan, mereka telah beraksi dengan baik walaupun persiapan agak singkat.
“Keserasian antara pemain juga masih dalam proses. Jadi beri mereka masa, Insya-ALLAH saya yakin mereka akan menunjukkan peningkatan,” ujarnya.