FAM pantau isu gaji dalam saingan MPFL

FAM pantau isu gaji dalam saingan MPFL


Pelancaran jersi dan pengenalan Pasukan Futsal Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu. – FOTO:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN (Gambar kecil: Rosmadi)

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memantau isu tunggakan gaji melibatkan pemain yang beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), khususnya Divisyen 1 dan 2.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, walaupun ada isu tunggakan pada musim lalu, ia tidak melibatkan majoriti pasukan bertanding.

“Untuk saingan MPFL Divisyen 1 musim lalu, memang ada sedikit masalah tunggakan gaji, namun isu ini tidak membabitkan peratusan besar daripada semua pasukan.

“Saya dimaklumkan oleh urus setia FAM bahawa pasukan-pasukan terlibat sedang berusaha menyelesaikan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pelancaran jersi dan pengenalan Pasukan Futsal Kelantan, di sini, pada Sabtu.

Rosmadi menegaskan, FAM memandang serius isu kewangan termasuk tunggakan gaji dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pasukan yang gagal menyelesaikannya.

“FAM akan mengambil tindakan termasuk sekatan ke atas pasukan yang tidak menunaikan tanggungjawab membayar gaji pemain. Pasukan perlu berbelanja mengikut kemampuan masing-masing,” tegasnya.

Tambah beliau, MPFL telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan futsal tanah air dengan menjadi medan mencungkil bakat dan laluan ke skuad kebangsaan.

“Kejohanan ini bukan sahaja melahirkan bakat baharu, malah menjadi ‘pembekal’ utama pemain futsal negara.

“Kebanyakan pemain skuad kebangsaan adalah hasil daripada saingan MPFL,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top