FAM pecat pengadil aksi Selangor menentang Negeri Sembilan

FAM pecat pengadil aksi Selangor menentang Negeri Sembilan


Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan memecat pengadil, Fitri Maskon yang mengadili perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, ia selepas Fitri menunjukkan prestasi yang lemah dalam perlawanan tersebut sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan itu.

“Laporan Penilai Pengadil telah menunjukkan bahawa Fitri telah menunjukkan satu prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan.

“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh beliau adalah kurang tepat.

“Hasil analisa juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.

“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perlawanan itu, Selangor berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan yang turut diselubungi kontroversi menerusi dua sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Menurut Sivasundaram, selepas mengadakan perbincangan yang mendalam bersama dengan kepimpinan tertinggi FAM, maka FAM telah mengambil keputusan memecat Fitri sekali gus membuktikan badan induk itu tidak berkompromi dalam isu berkaitan pengadil.

“Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.

“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang,” ujarnya.



Source link

OR