SHAH ALAM – Pendekatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pemain warisan bagi memperkukuh skuad Harimau Malaya dilihat wajar diteruskan, namun ia perlu diseimbangkan dengan pembangunan bakat anak tempatan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, langkah membawa masuk pemain warisan dari seluruh dunia telah menunjukkan impak positif apabila skuad kebangsaan berjaya menewaskan Vietnam baru-baru ini.
“Kita akui ada pandangan pro dan kontra terhadap penggunaan pemain warisan, tetapi dalam landskap bola sepak moden yang semakin kompetitif terutamanya di peringkat antarabangsa, kita perlukan kekuatan tambahan.
“Namun dalam masa sama, pemain tempatan juga perlu diberi ruang dan platform sewajarnya,” katanya semasa menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.
Mohd Najwan berkata, FAM perlu menyemak semula strategi jangka panjang sama ada untuk terus bergantung kepada pemain warisan atau memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi.
Mengulas soalan berkaitan kekangan utama pasukan Selangor untuk menjuarai Liga Malaysia, Mohd Najwan secara jujur menyatakan kehadiran pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai cabaran terbesar Red Giants.
“Kalau tanya saya secara rasional dan logik, kekangan utama kita ialah JDT kerana sejak 2015 hingga kini, Selangor lebih banyak muncul naib juara.
“Di peringkat Selangor FC (SFC), pelbagai inovasi dan penambahbaikan sedang dilakukan, sama ada dari segi kejurulatihan mahu pun pemilihan pemain,” katanya.
Beliau turut menyeru pasukan Selangor menjadikan contoh kejayaan JDT dan terus memperkemas aspek dalaman untuk mencabar kejuaraan liga pada musim ini.
“Insya-ALLAH kita doakan Red Giants akan kembali menjulang Piala Malaysia tahun ini,” tambah beliau.
Menjawab pertanyaan Noor Najhan sebelum ini tentang apakah SFC dan kerajaan negeri akan mengambil pendekatan seperti FAM dalam merekrut pemain warisan Malaysia di Eropah Mohd Najwan memaklumkan, pendekatan hybrid diambil dalam memantapkan pasukan Selangor.
Jelas beliau, Selangor menggunakan pendekatan pembangunan bakat tempatan dan pengambilan pemain warisan bertaraf antarabangsa kerana dilihat lebih mampan, malah mampu meningkatkan daya saing Red Giants ke peringkat lebih tinggi.
Justeru katanya, pelbagai inisiatif dan penyelarasan di peringkat akar umbi sedang giat dijalankan bagi mengurangkan jurang kualiti antara pemain warisan dan pemain tempatan.
“SFC bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dalam memperkasakan sistem pembangunan bola sepak termasuklah pembangunan jurulatih, pengadil, pasukan bola sepak amatur dan penganjuran liga peringkat negeri secara sistematik.
“Asas kukuh yang dibina ini memberi ruang kepada pemain tempatan untuk mengembangkan bakat secara menyeluruh,” jelasnya.
Najwan turut memaklumkan SFC turut menumpukan kepada program pencarian bakat serta pembangunan jurulatih elit tempatan dan antarabangsa bagi memastikan pemain terbaik di setiap peringkat umur dapat dikesan dan diberi latihan bertaraf tinggi.
“Selain itu, SFC juga menjalinkan hubungan strategik dengan kelab-kelab profesional di Eropah dan Asia supaya pemain-pemain terbaik Selangor berpeluang menjalani latihan dan mendapat pendedahan di luar negara,” katanya.