sukan@hmetro.com.
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pengenalan Liga Negara-Negara oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan melihat ia bakal menjadi kejohanan kompetitif untuk meningkatkan prestasi pasukan pada jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata dengan adanya Liga Negara-Negara itu nanti, semua pasukan boleh bersaing berdasarkan kekuatan setara, dan ia bakal memeriahkan lagi persaingan antara satu sama lain.
Katanya, beliau melihat pertandingan ini akan memberi impak besar kepada setiap negara, terutama dalam menyediakan barisan pemain terbaik kerana ia terbabit dalam perlawanan yang diiktiraf FIFA.
“Kadang kala apabila kita menguruskan perlawanan persahabatan, kita tidak mendapat lawan pada kualiti yang sama. Kadang ada pasukan yang baik tetapi kerana tidak ada pilihan, mereka terpaksa lawan pasukan yang rankingnya lebih jauh.
“Jadi Liga Negara-Negara ini memberi peluang kepada pasukan untuk bersaing dengan pasukan pada kualiti yang hampir sama. Ini meningkatkan lagi kualiti permainan itu selain membangunkan pemain menjadi lebih berkualiti tinggi.
“Ia juga memberi peluang kepada kita untuk menentang pasukan pada ranking yang lebih tinggi dan jarang kita dapat temui, seperti pasukan di Asia Timur dan Asia Barat yang lebih kuat,” kata beliau.
Terdahulu, AFC mengumumkan pelancaran kejohanan baharu, Liga Negara-Negara, sebagai usaha meningkatkan tahap persaingan serta nilai komersial pasukan kebangsaan di seluruh benua itu.
Begitupun, dalam kenyataan yang dikeluarkan, badan induk itu belum menetapkan tarikh sebenar kejohanan akan bermula, namun memaklumkan ia selari dengan kalendar jendela antarabangsa FIFA yang sedia ada.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, berpendapat pertandingan ini menunjukkan komitmen tinggi AFC dalam menyokong pembangunan semua 47 persatuan anggotanya.
Ketika ini, AFC menganjurkan Piala Asia setiap empat tahun, dengan edisi seterusnya membabitkan 24 pasukan dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada Januari 2027.
Untuk makluman, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) turut mengadakan pertandingan sama iaitu kejohanan Liga Negara-Negara Eropah pada 2018 dengan tujuan meningkatkan jumlah perlawanan kompetitif yang bermakna untuk pasukan kebangsaan anggotanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






