firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memperkenalkan kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pengenalan Piala ASEAN FIFA ini dianggap sebagai satu langkah bersejarah yang membuka lembaran baharu dalam pembangunan dan penyatuan bola sepak ASEAN di bawah bumbung FIFA.
“Ia juga akan menjadi platform penting bukan sahaja untuk mempertingkat tahap persaingan pasukan-pasukan ASEAN, tetapi memperkukuh hubungan antara negara serantau dalam semangat kesukanan dan persahabatan.
“Pada masa sama, ia secara tidak langsung dapat mempertingkat mutu pertandingan memandangkan penganjuran Piala ASEAN FIFA berlangsung dalam kalendar FIFA.
“Kami percaya dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, Piala ASEAN FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak ASEAN di pentas dunia,” katanya.
Semalam, Presiden FIFA, Giovanni Infantino melancarkan kejohanan Piala ASEAN FIFA (FIFA ASEAN Cup) yang akan menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan FIFA.
Ujarnya Yusoff lagi, begitupun penganjuran Piala ASEAN FIFA masih di peringkat perbincangan awal dan ia akan dibincangkan secara lebih komprehensif selepas ini.
“Apapun kita berharap penganjuran Piala ASEAN FIFA dapat direalisasikan demi kemajuan bola sepak ASEAN,” katanya.
Untuk rekod, ketika ini saingan Piala AFF adalah kejohanan utama babitkan pasukan di rantau Asia Tenggara yang mula diperkenalkan pada 1996 dengan nama asal Piala Tiger.
Sepanjang tempoh berkenaan sehingga kini, skuad Harimau Malaya pernah muncul juara sekali iaitu pada 2010 selepas menewaskan Indonesia di perlawanan akhir, namun kejohanan itu tidak diiktiraf FIFA di mana ia dilangsungkan di luar kalendar badan induk dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





