PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah memfailkan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya bertindak pantas setelah menerima penghakiman penuh FIFA pada 7 Oktober lepas dengan pasukan perundangan FAM menyiapkan segala dokumen untuk diserahkan sebelum tarikh akhir.
Beliau berkata, persediaan memfailkan rayuan dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang masalah timbul pada peringkat seterusnya.
“Sudah tentu apabila kita mengemukakan rayuan harapan kita supaya rayuan diterima, memperoleh keputusan positif dan berpihak kepada kita.
“Proses rayuan ini seperti pusingan kedua untuk kami dan tentu sekali persiapan lebih baik, kemas dan teliti, ia tidak dibuat sambil lewa atau pun secara terdesak,” katanya ketika ditemui pada aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA memaklumkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
FAM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh petugas pentadbiran.
FAM sebelum ini turut dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff berkata, FAM menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk mengambil langkah seterusnya mengenai kenyataan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski yang dikatakan mengkritik badan induk itu baru-baru ini.
Mohd Yusoff berkata, beliau secara peribadi menerima permohonan maaf yang telah dibuat pengendali dari Australia itu, namun menjelaskan FAM tertakluk kepada statut yang seharusnya dihormati. – Bernama
Ringkasan AI
- FAM memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan
- Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengatakan persediaan rayuan dilakukan dengan teliti
- Tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh FIFA atas pemalsuan dokumen
- FAM dikenakan denda CHF350,000 manakala setiap pemain didenda CHF2,000 dan digantung 12 bulan
- FAM mungkin akan membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan sekiranya rayuan kepada FIFA tidak berjaya