firdaushashim@hmetro.com.my
Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak cemas dan enggan menekan butang panik selepas saingan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) secara rasminya dimansuhkan mulai musim depan, dengan badan induk itu sudah memiliki formula terbaik bagi mengatasi isu itu.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menegaskan FAM ketika ini sudah merangka beberapa pelan kecemasan bagi menangani nasib dan masa depan pemain-pemain bawah 23 (B-23) ekoran pembubaran saingan Piala MFL itu.
Jelasnya, antara alternatif yang sedang diperhalusi adalah dengan bekerjasama dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) babitkan saingan Liga A1 Semi Pro bagi memastikan karier pemain B-23 tidak dipersia-siakan begitu sahaja.
“Bagi Piala MFL itu (dibubarkan) memang kita akur dengan keputusan daripada Lembaga Pengarah MFL. Kita nampak Piala Presiden dan Piala Belia untuk pembangunan, dan memang kita (FAM) fokus kepada Piala Presiden dan Piala Belia.
“Saya baru bincang dengan Datuk Mohd Yusoff Mahadi (Presiden AFL) itu akan pergi (pemain B-23 di Piala MFL) kepada A1, saya tak pasti lagi.
“Kita akan bincang secara langsung, tapi apapun keputusan itu kita akur dengan keputusan Lembaga Pengarah MFL. Kita akan bincang dalam masa terdekat dengan AFL dan dengan teknikal. Masih dalam perbincangan lagi secara teknikal,” katanya ketika ditemui pada sidang media majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan CARSOME di sini, hari ini.
Ujar Noor Azman lagi, pihaknya tidak pernah mengabaikan pembangunan bola sepak di peringkat bawah dan pihaknya akan berusaha menangani masalah terbabit.
“Bagi FAM kita tak bimbang sebab kita ada perancangan. Setiap apa yang kita buat ada perancangan, apapun keputusan yang dibuat kita akan berbincang dengan semua pihak,” katanya.
Semalam, MFL mengesahkan kempen Piala MFL pada musim depan terpaksa dibubarkan selepas 13 kelab Liga Super yang juga rakan kongsi saingan Liga Malaysia bersetuju untuk memansuhkan saingan B-23 itu.
Dalam kenyataan media yang dikongsikan oleh MFL, mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.
Lantas, keputusan memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd