PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai kejohanan Piala Nations anjuran Persekutuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) yang dijadual berlangsung di Uzbekistan dan Kyrgyzstan dari 26 Ogos hingga 9 September depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat jawatankuasa bagi meneliti secara menyeluruh aspek penyertaan skuad Harimau Malaya dalam kejohanan berkenaan.
“Saya di bahagian pertandingan… jadi mesyuarat pertandingan harus berbincang.
“Insya-Allah, jika ada kebaikan untuk pasukan kebangsaan, bagi saya perkara yang baik kita akan ambil bahagian demi kebaikan bola sepak,” katanya ketika ditemui pada Majlis LaLiga Extra Time pada Khamis.
Zainal Abidin yang juga Exco FAM menegaskan bahawa badan induk itu sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang penyertaan jika ia membawa manfaat kepada prestasi pasukan negara.
Terdahulu, Harimau Malaya dilaporkan berpeluang menyertai Piala Nations CAFA yang bakal mempertemukan pasukan negara dengan beberapa pasukan bertaraf Piala Dunia.
Antara pasukan yang sah akan beraksi termasuk juara bertahan, Iran, yang kini berada di ranking ke-18 dunia serta telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Selain itu, Uzbekistan, Oman, Tajikistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan dan Afghanistan turut dijangka menyertai saingan edisi kali ini.
Untuk rekod, edisi sulung Piala Nations CAFA telah dianjurkan pada Jun 2023 sebagai platform untuk memperkukuh hubungan serta pembangunan bola sepak di rantau Asia Tengah.