July 27, 2024

FAM tekad terus bergerak maju

FAM tekad terus bergerak maju


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mahu terus melangkah maju ke hadapan selepas terpalit dengan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah baru-baru ini.

Namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad membersihkan nama FAM daripada sebarang tohmahan tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kenyataan pihak berkuasa itu membuktikan bahawa pihaknya sentiasa serius dengan ketelusan dan tata kelola yang baik dalam pengurusan persatuan.

Malah beliau berkata, laporan tersebut juga mendorong mereka untuk bekerja lebih kuat bagi memastikan bola sepak negara berjaya di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah kenyataan itu amat melegakan dan dinanti-nantikan oleh Exco, pengurusan dan ahli gabungan FAM.

“Selama ini memang kita telus dalam pengurusan dan selepas ini akan lebih berhati-hati untuk meningkatkan lagi tahap tata kelola dan pengurusan yang lebih dinamik serta mantap.

“Kami akan terus bergerak ke hadapan dan bekerja lebih kuat lagi demi kemajuan bola sepak negara.

“Sebelum ini (semasa siasatan) agak terganggu sedikit dan beberapa kerja terbantut, namun kita menghormati dan memberi kerjasama baik kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sukan Sinar pada Isnin melaporkan SPRM menegaskan tiada sebarang isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FAM.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut.

SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak menemui sebarang keterangan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.

Ia melibatkan siasatan isu rasuah serta tohmahan kepimpinan dan pengurusan sewaktu penganjuran kongres FAM ke-60 dan pelaksanaan projek National Training Centre (NTC) di Putrajaya bernilai hampir RM25 juta.

Noor Azman menjelaskan projek tersebut akan diteruskan seperti dirancang melibatkan kerjasama pihak berkaitan termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Kerja Raya.

“Projek ini melibatkan tiga fasa termasuk pejabat baharu FAM di Putrajaya dan perkara berkaitan akan ditambah baik,” katanya.

Siasatan ke atas kedua-dua isu terbabit telah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang berpuas hati dengan hasil siasatan dan memutuskan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top