FAM tidak boleh berdiam diri, jawab secara jelas pendedahan FIFA – Hannah

FAM tidak boleh berdiam diri, jawab secara jelas pendedahan FIFA – Hannah


[DIKEMAS KINI] MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh berdiam diri berhubung pendedahan penuh dokumen penghakiman yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Beliau berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu segera mengemukakan rayuan dan memberikan penjelasan susulan pendedahan tersebut yang membabitkan isu pemalsuan serta pengubahan dokumen rasmi melibatkan tujuh pemain warisan negara.

Menurut Hannah, FAM juga perlu segera mengemukakan rayuan kepada FIFA bagi mempertahankan kedudukan dan reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM perlu segera melengkapkan proses rayuan dengan mengumumkan hasrat untuk merayu serta memfailkannya.

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA. Penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada Selasa.

Dalam masa sama, Hannah turut mengingatkan agar tumpuan tetap diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Laos minggu ini dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” ujarnya.

Sebelum ini, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Menurut laporan tersebut, FIFA mendapati tujuh pemain berkenaan tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia seperti yang dinyatakan dalam dokumen kelayakan mereka.

Bagaimanapun, FAM menegaskan bahawa gambaran terhadap isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan oleh FIFA adalah tidak tepat serta tidak adil.

Dalam kenyataan rasmi pada Selasa, FAM memaklumkan pihaknya telah menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA dan akan segera mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.

“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan FAM harus segera rayu dan jelaskan pendedahan FIFA berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan
  • FAM diminta segera melengkapkan proses rayuan dengan FIFA untuk mempertahankan reputasi bola sepak Malaysia
  • Hannah Yeoh membaca Alasan Penghakiman FIFA dan menuntut FAM menjawab pendedahan tersebut
  • Penyokong bola sepak Malaysia berasa terluka, marah dan kecewa dengan situasi ini
  • FIFA mendapati tujuh pemain warisan tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, namun FAM menegaskan dakwaan FIFA tidak tepat dan akan mengemukakan rayuan rasmi



Source link

OR

Scroll to Top