FAM tubuh jawatankuasa bebas siasat kesilapan teknikal

FAM tubuh jawatankuasa bebas siasat kesilapan teknikal


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran yang menyebabkan badan induk itu dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta berkuat kuasa Jumaat bagi memberi laluan kepada siasatan dijalankan.

“Bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan dan selaras dengan piawaian tertinggi bola sepak antarabangsa, Setiausaha Agung FAM digantung daripada tugas sementara waktu bermula hari ini.

“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh jawatankuasa bebas secara telus tanpa campur tangan mana-mana pihak. Setiausaha Agung sebagai ketua sekretariat mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini,” katanya pada sidang media khas di Wisma FAM, Jumaat.

Menurut Sivasundaram, langkah penggantungan itu penting bagi memastikan proses siasatan oleh jawatankuasa bebas dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

“FAM tidak akan campur tangan dan keputusan akhir hanya akan dibuat selepas jawatankuasa bebas menyiapkan laporan penuh mereka,” jelasnya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain yang dilakukan oleh kakitangan pentadbirannya.

Dalam masa sama, Noor Azman menegaskan tujuh pemain berdarah warisan yang dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen itu merupakan rakyat Malaysia yang sah.

Bagaimanapun, FIFA menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025 menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel.

Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Ringkasan AI

  • FAM akan menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kesilapan teknikal yang menyebabkan hukuman oleh FIFA
  • Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, digantung tugas untuk memberi laluan kepada siasatan
  • Siasatan akan dijalankan secara telus tanpa campur tangan mana-mana pihak
  • Kesilapan teknikal melibatkan proses penyerahan dokumen pemain
  • FIFA mengenakan denda pada FAM dan menggantung tujuh pemain terlibat dalam kes pemalsuan dokumen



Source link

OR

Scroll to Top