firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas pemain kebangsaan dan Perak, Ishsam Shahruddin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 58 tahun di Pulau Pinang, petang tadi.
Ucapan takziah itu dikongsikan di laman Facebook badan induk itu.”Allahyarham yang beraksi di era 1980-an dan 1990-an merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak sejak November 2022.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin,” kata kenyataan FAM.
Nada kesedihan turut dikongsikan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) yang menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.
Ia dinyatakan sendiri oleh Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed.
“Kami seluruh warga komuniti PBMM turut berdukacita dan bersedih atas pemergian Allahyarham YB Ishsam yang kami hormati,” kata Mohd Firdaus.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan menerima laporan kematian Ishsam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning selepas dikhabarkan rebah di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Insiden itu berlaku ketika arwah menghadiri Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang membabitkan penyertaan bekas pemain bola sepak negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
Allahyarham Ishsam, 58, yang berasal dari Bidor, Perak adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan selain pernah beraksi untuk skuad Perak dan Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd