Fara Fauzana akhirnya di puncak Kinabalu

Fara Fauzana akhirnya di puncak Kinabalu


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas gagal menawan puncak Kinabalu dalam kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu, November tahun lalu kerana faktor kesihatan, semalam, penyampai Hot FM, Fara Fauzana akhirnya berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Fara ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dengan kejayaan itu kerana ia adalah pencapaian peribadinya pada usia 45 tahun.

“Saya bukannya mahu buktikan pada sesiapa, sebaliknya lebih kepada kepuasan untuk diri sendiri.

“Selain dari segi usia, saya juga berjaya sampai ke puncak walaupun pernah melakukan pembedahan di lutut sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi cabaran ketika pendakian, Fara yang kini berada di Kota Belud, Sabah berkata, dia bersyukur kerana berjaya sampai ke puncak dengan keadaan cuaca yang cantik dan cerah.

Katanya, cabaran dihadapi ketika turun dari puncak kerana hujan sepanjang perjalanan.

“Pasukan kami seramai 10 orang termasuk seorang kakitangan Hot FM, Amirul dan seorang rakan saya, Dr Alif turut serta dalam pendakian ini. Pendakian dari bawah bermula jam 10 pagi kelmarin dan kami sampai ke Laban Rata pada jam 5 petang.

“Kami berehat dan tidur seketika sebelum teruskan pendakian pada jam 3 pagi semalam dan kami berjaya sampai ke puncak Kinabalu pada jam 6 pagi semalam,” katanya yang mengadakan sesi latihan untuk pendakian sejak tahun lalu.

Fara berkata, dia juga berterima kasih kepada stesen radio Hot FM dan pihak pengurusan syarikat.

“Ini misi peribadi, tapi Hot FM sangat menyokong dari belakang dan pihak pengurusan syarikat juga beri lampu hijau untuk saya teruskan termasuk doa daripada semua orang.

“Jika bukan kerana misi tawan Kinabalu tahun lalu, saya takkan sampai ke puncak sana,” katanya.

Terdahulu, Bekpes Hot turut mencatat sejarah menerusi kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu tahun lalu yang berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai Siaran Radio Tanpa Henti Terpanjang di Gunung Kinabalu.

Ekspedisi pada 14 dan 15 November itu menampilkan penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan, Fara dan AG bersama rakan ekspedisi termasuk Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin dan Dr Hazwan Khair.

Namun, Fara terpaksa menghentikan pendakian di Laban Rata atas faktor kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top