Farah Ann dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Belia Asia 2025

Farah Ann dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Belia Asia 2025


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pelantikan bekas gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Belia Asia edisi ketiga yang akan berlangsung di Manama, Bahrain dari 22 hingga 31 Oktober depan.

Menurut MOM, pelantikan itu dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) selaras dengan hasrat untuk memberi kepercayaan kepada pemimpin muda dan dinamik yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa, sekali gus mampu menjadi sumber inspirasi kepada barisan atlet belia negara.

“Farah Ann yang berusia 31 tahun pernah mencipta pelbagai kejayaan gemilang dalam arena gimnastik artistik tanah air sepanjang lebih sedekad bergelar atlet.

“Bermula sebagai gimnas remaja, beliau kemudian tampil sebagai antara atlet paling disegani di rantau Asia Tenggara.

“Di pentas Sukan SEA, Farah Ann meraih 12 pingat keseluruhan merangkumi tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa menerusi empat edisi bermula 2011 hingga 2019.

“Kemuncak kariernya hadir pada Sukan SEA Filipina 2019 apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara All-Around, Palang Bertingkat dan Senaman Lantai,” kata badan induk sukan Olimpik negara berkenaan.

Rentetan pencapaian cemerlang itu, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olimpian Terbaik MOM–Coca Cola 2019.

Selain itu, Farah Ann turut membawa cabaran negara di Sukan Komanwel (2010, 2014, 2018) serta Sukan Asia (2014, 2018) sebelum menutup kariernya dengan sejarah manis apabila layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, menjadikan beliau gimnas keempat Malaysia tampil di pentas sukan terbesar dunia itu.

“Dengan kredibiliti dan pengalaman luas yang dimiliki, MOM yakin pelantikan Farah Ann sebagai Ketua Kontinjen mampu memberi motivasi tinggi kepada skuad muda negara dalam usaha memburu kejayaan di Bahrain,” kata badan itu lagi.

Ringkasan AI

  • MOM mengumumkan pelantikan Farah Ann sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Belia Asia di Bahrain
  • Pelantikan dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara untuk memberi kepercayaan kepada pemimpin muda dan berpengalaman
  • Farah Ann pernah meraih 12 pingat di Sukan SEA
  • Beliau dianggap antara atlet paling disegani di Asia Tenggara dalam gimnastik artistik
  • Farah Ann juga telah beraksi di Sukan Komanwel, Sukan Asia, dan Sukan Olimpik Tokyo 2020



Source link

OR

Scroll to Top