Pelakon remaja versatil, Puteri Balqis, akhirnya tampil membuka mulut bagi menjawab segala tanda tanya mengenai dua jejaka yang kerap muncul bersamanya hingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Menurut Balqis, lelaki dikenali sebagai Faris, 25, sebenarnya ayah tirinya, manakala seorang lagi, Didi, ialah tunangnya.
“Faris ialah ayah tiri saya, tapi saya tak suka panggil dia begitu. Dia lelaki yang sanggup melangkah ke depan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa.
“Dan ini pula Didi, tunang saya,” katanya menerusi video yang dikongsikan di TikTok, petang Rabu.
Aktres berusia 18 tahun itu menjelaskan, Faris sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupannya apabila mengenali ibunya sejak lapan tahun lalu sebelum hubungan mereka berubah kepada ikatan kekeluargaan.
“Faris dan Didi bukan saudara saya, tiada sebarang pertalian darah, tapi kami kebetulan berkongsi rupa paras dan personaliti yang hampir sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, bintang drama Keluarga Itu berkenaan turut berkongsi cabaran peribadi yang dihadapinya apabila perlu menjelaskan keadaan kesihatan mental ibunya kepada keluarga tunangnya.
“Dulu masa nak terangkan tentang ibu saya pada keluarga Didi, memang susah. Kadang-kadang ibu nampak normal untuk beberapa jam atau hari, tapi ada masa dia boleh berubah jadi seperti kanak-kanak atau tentera.
“Dia alami gangguan kesihatan mental yang agak teruk, tapi saya bersyukur keluarga Didi memahami keadaan kami,” ujarnya.
Bagi Balqis, ibunya bukan beban, sebaliknya sumber kekuatan dan kasih sayang yang membentuk dirinya menjadi insan yang tabah hari ini.
“Ibu saya bukan beban. Cuma cabarannya berbeza bila menjaga seseorang yang pernah melalui begitu banyak luka dan pengalaman hidup yang perit,” katanya.
@morosechildofficial The Poet’s Family🤍 @volkov_kafziel @CALCIFER
♬ original sound – Puteri Balqis Ashikin – Puteri Balqis Ashikin