Pelakon cantik Fasha Sandha, tampil menjelaskan keadaan sebenar mengenai khabar angin yang mendakwa hubungan persahabatannya dengan Nur Fazura sudah tidak seperti dulu.

Ketika ditemui XTRA di majlis pelancaran butik baharu jenama She Dazzle di Taman Melawati pada Sabtu, Fasha menegaskan dia dan Fazura masih saling mengikuti di media sosial.
“Saya tak nak cakap banyak sebab takut nanti orang salah tafsir. Tapi yang boleh saya katakan, saya masih anggap Fazura sebagai kawan.
“Kami masih follow satu sama lain, cuma mungkin ada peminat yang terlalu emosi,” katanya kepada XTRA.
Menurut pelakon berusia 41 tahun itu, isu yang timbul hanyalah salah faham yang diperbesarkan oleh segelintir netizen, sedangkan dia dan Fazura tidak pernah berselisih faham.

“Bagi saya, Fazura dan bekas suami, Fattah Amin pun dah move on dan bahagia dengan kehidupan masing-masing. Tak ada sebab untuk kami bermasalah,” ujarnya.
Fasha turut mengakui dia belum sempat menghubungi Fazura secara peribadi selepas diserang netizen gara-gara menghadiri majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman.
“Kami dah lama tak jumpa dan belum sempat berhubung. Mungkin bila tiba masa yang sesuai, barulah kami boleh bercakap,” jelas isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu lagi.
Dalam masa sama, Fasha meminta agar peminat berhenti membuat andaian atau menyebarkan spekulasi yang boleh mencetuskan salah faham antara mereka.

“Lebih baik kita doakan yang baik-baik saja untuk Fazura dan Fattah. Kita pun tak tahu apa akan jadi pada masa depan.
“Janganlah buat penilaian yang bukan-bukan sebab benda macam tu boleh buat orang yang tak ada masalah tiba-tiba jadi ada masalah,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna di aplikasi Threads mendakwa Fasha sudah tidak lagi mengikuti akaun Instagram Fazura sekaligus mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminat memandangkan kedua-duanya pernah dikenali sebagai sahabat rapat.
Fasha juga pernah berkongsi dia pernah menerima mesej berbaur ugutan daripada segelintir peminat Fazura selepas menghadiri majlis perkahwinan Fattah dan Amira, namun memilih untuk tidak memanjangkan perkara tersebut.
Sebagai penutup, Fasha berharap agar semua pihak terus menyebarkan perkara positif sahaja.
“Apa penting sekarang, hidup dengan harmoni dan doakan semua orang bahagia,” katanya.
Fasha ditemui di majlis pelancaran butik She Dazzle di Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

She Dazzle memperkenalkan koleksi terbaharu She Dazzle Society (SDS), sebuah rangkaian gaya quiet luxury yang memberi penekanan kepada kekemasan, keselesaan dan elegan.
She Dazzle turut menerima sokongan organik daripada pelanggan setia, termasuklah selebriti dan personaliti tempatan dan antaranya adalah Fasha Sandha yang dikenal pasti sebagai pembeli tegar She Dazzle sejak beberapa tahun kebelakangan ini.





