FashionValet: Siapapun boleh minta maaf – Awang Hashim

FashionValet: Siapapun boleh minta maaf – Awang Hashim


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (Perikatan Nasional) menempelak permohonan maaf daripada Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar susulan kerugian perniagaan fesyen yang dilabur oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) baru-baru ini.

Beliau berkata, permohonan maaf tidak patut melepaskan individu yang bertanggungjawab menerima dana awam namun pada akhirnya mengalami kerugian mencecah RM43.9 juta.

Beliau turut mendakwa sekiranya kesilapan dan permohonan maaf datang daripada pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan, maka kesannya akan berbeza.

“Kita tidak mahu hanya meletakkan jawatan dan minta maaf di atas kerugian syarikat, ini siapa-siapa pun boleh buat macam begitu. Tidak payahlah ambil orang yang berpelajaran, berpendidikan untuk mengurus syarikat besar berkaitan kerajaan, GLC (kalau begitu).

“Sebab setiap tahun kerajaan terpaksa bailed out syarikat yang ditubuhkan kerajaan untuk memberi pulangan kepada kerajaan, jadi kalau mereka menggunakan kesempatan untuk merugikan syarikat berkaitan kerajaan tapi mereka untung lepas tu bila diaudit letak jawatan, minta maaf. Oh itu senanglah.

“Tapi sekarang ini semua sekarang minta maaf begitu saja, kalau sealiranlah kalau macam saya (pembangkang) minta maaf pun tetap mahkamah jawabnya,” katanya pada sidang media di parlimen, hari ini.

Sebelum ini, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Menurut Awang, Khazanah dan PNB sepatutnya berperanan memastikan setiap sen yang diguna mampu memberi pulangan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Sebagai pengurus dana awam, Khazanah dan PNB memastikan setiap sen yang digunakan mestilah teliti, berhati-hati dan membawa manfaat yang nyata. Namun apa yang kita lihat di sini adalah kelemahan dalam pengurusan risiko dan penilaian pulangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya penjelasan dan laporan prestasi pelaburan didedahkan secara terperinci.

Awang berkata, ia termasuk kajian risiko pelaburan ke atas perniagaan tersebut.

“Apakah mekanisme due diligence yang dijalankan sebelum pelaburan ini? Adakah sebarang kajian mendalam mengenai kesan dan keberksanan pelaburan ini dibuat? Jika ya, mengapa ia gagal memberi amaran terhadap risiko yang begitu tinggi? ,” soalnya.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya kerajaan meningkatkan kawal selia iaitu terhadap syarikat berkaitan kerajaan agar mereka lebih telus dan bertanggungjawab dalam pengurusan pelaburan.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memulakan siasatan susulan kerugian yang dialami oleh Khazanah dan PNB akibat pelaburan dalam FashionValet. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top