norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Fattah Amin, 34, mengakui hilang kata-kata apabila dirinya mendapat gelaran ‘duda hot’, termasuk ‘ada Fattah untuk diaminkan’ daripada komen-komen netizen di media sosial.
Fattah berkata, dia bagaimanapun berasa terhibur dengan pelbagai komen diterima daripada netizen itu yang disifatkan amat memberi sokongan positif dan mendokan baik-baik kepadanya.
“Saya tak tahu nak cakap apa (terhadap gelaran dan komen netizen). Saya tak nak komen, tapi cuma ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang beri sokongan. Tanpa mereka siapalah saya.
“Alhamdulillah, dalam keadaan sekarang saya juga terharu dan banyak bersyukur dengan sokongan daripada peminat sejak dari dulu lagi. Dari saya belum kahwin, dah berkahwin dan sampai jadi macam ini (cerai),” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Fattah ditemui selepas tayangan Malam Gala Premiere All Access To Rossa 25 Shining Years di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Menurut Fattah, dia berharap akan terus mendapat doa yang baik-baik daripada semua orang dan berterima kasih kepada mereka yang tidak putus mendoakan dirinya serta memberi kata-kata semangat.
Mengulas perkembangan terkini dirinya, Fattah berkata, dia berada dalam keadaan baik-baik saja dan sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sebelum masuk ke set penggambaran drama baharu tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, saya kini lebih memberi fokus terhadap kerjaya seni serta perancangan membuka perniagaan dan juga anak saya, Fatima Aisya.
“Saya juga tak sangka sesi ‘live’ yang dibuat di TikTok baru-baru ini mendapat sambutan sangat baik dan di luar jangka daripada pengguna media sosial yang mengikutinya,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu selepas tujuh tahun berkahwin pada 27 November 2017.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd