Fauzi imbau kenangan Pahang digelar sebagai Raja 'Comeback'

Fauzi imbau kenangan Pahang digelar sebagai Raja 'Comeback'



sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Bergelar juara Piala Malaysia 2014 masih segar dalam ingatan bekas pemain Pahang, Fauzi Roslan atau Kojie.

Lebih manis, Fauzi berkata, musim itu skuad Tok Gajah digelar peminat bola sepak sebagai pasukan ‘comeback’ kerana sering melakukan kebangkitan pada saat akhir apabila ketinggalan.

“Musim itu (2014) prestasi pasukan amat cemerlang bukan sahaja bergelar juara Piala Malaysia, malah juara Piala FA. Ia kenangan indah yang menjadi sejarah buat pasukan Pahang dan saya sebagai pemain.

“Pada aksi final berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), kami ketinggalan dan bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sebelum memenangi Piala Malaysia 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

“Sebagai bekas pemain Pahang, saya juga berterima kasih kepada pengurusan Pahang serta sokongan padu yang diberikan penyokong Tok Gajah ketika itu.

“Tanpa sokongan serta kerjasama rakan sepasukan yang tidak mengenal erti putus asa dan berjuang demi pasukan, Pahang beroleh kejayaan,” kata Fauzi yang berusia 37 tahun.

Justeru, Fauzi yang kini jurulatih bola sepak Seri Pekan FC yang melatih pemain berusia 12 tahun ke bawah mengharapkan barisan pemain skuad kendalian Fandi Ahmad itu dapat mempamerkan persembahan terbaik apabila berdepan JDT nanti.

Katanya, tiada yang mustahil untuk kembali menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir Pahang melakukannya pada 2014.

“Sebenarnya 11 tahun adalah tempoh yang lama dan inilah masanya Sri Pahang FC melakukannya sekali lagi biarpun cabaran besar menanti apabila berdepan JDT yang juga juara bertahan.

“Namun, dengan semangat juang tinggi dan sikap tidak berputus asa akan membantu. Pada masa sama Sri Pahang bermain cemerlang sepanjang saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor FC, Perak FC dan Sabah FC,” katanya.

Berdasarkan rekod, Fauzi menyarung jersi Pahang dari 2010 hingga 2016 dan pernah membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala Malaysia pada 2013 dan 2014 manakala Piala FA (2014).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top