KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San digesa untuk mengisytiharkan tujuh kerusi bekas wakil rakyat Bersatu dikosongkan.
Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Johari dan Weng San perlu mengikut jejak Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang telah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.
Katanya, tindakan yang diambil oleh Mohd Amar adalah selaras dengan Seksyen 31A Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada suatu Pilihan Raya Kecil diadakan.
Tindakan itu juga menurut beliau, selaras dengan kehendak rakyat dan sebagai menghormati matlamat demokrasi di sebalik Undang-Undang Larangan Bertukar Parti yang telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada tahun 2022.
“Demi menghormati prinsip demokrasi dan hak rakyat, saya menggesa Tan Sri Johari Abdul untuk mengikuti jejak langkah Speaker DUN Kelantan bagi mengisytiharkan kekosongan di 6 buah kerusi Parlimen yang mana ahli-ahlinya telah tergugur keahlian Bersatu masing-masing selaras dengan Perlembagaan Parti dan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya turut menggesa agar Lau Weng San untuk turut mengisytiharkan kekosongan di kerusi DUN Selat Klang yang mana ahlinya juga telah tergugur keahlian parti setelah meninggalkan perjuangan parti,” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam kenyataan.
Menurut beliau, adalah penting agar hak rakyat dikembalikan dan mandat baharu ditentukan oleh rakyat semula.
Sebelum ini media melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.
Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Mohd Amar berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri.
Beliau berkata mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain.- MalaysiaGazette