sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pengalaman bersama skuad kebangsaan menjadi peransang buat Fazrul Amir Md Zaman membantu Kelantan Darul Naim FC menjinakkan Perak FC dalam aksi pertama Piala Malaysia 2024 pusingan 16, esok.
Fazrul, 24, berharap dapat mengekalkan aksi cemerlang ketika bersama Harimau Malaya menewaskan Laos 3-1, dan mengikat India seri satu sama.
Katanya, pengalaman sebagai pemain gantian itu akan digunakan sebaiknya bagi menentang Perak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Yang penting momentum saya dapat diteruskan bagi membantu pasukan meraih bekalan selesa sebelum perlawanan kedua nanti.
“Latihan positif pasukan juga semakin meningkat, saya yakin pasukan mempunyai peluang sama rata untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya kepada media.
Pemain sayap itu berharap rakan sepasukannya juga berhati-hati dan tidak terburu-buru memandangkan skuad Seladang pernah menewaskan kijang emas musim ini.
“Kami kena berjuang habis-habisan dan cuba dapatkan bekalan agar perlawanan kedua lebih mudah dan kurang tekanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd