‘Fei-Din’ bakal naik takhta nombor 1 dunia

‘Fei-Din’ bakal naik takhta nombor 1 dunia


BIARPUN tersingkir di peringkat suku akhir Malaysia Masters 2025, namun ia tidak menghalang beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal bergelar pasangan nombor satu dunia.

Ia bagi menggantikan kedudukan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang tergelincir ke tangga kedua.

Pasangan Denmark itu terlepas status tersebut selepas tewas kepada beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan separuh akhir Malaysia Masters pada Sabtu.

Keputusan pada kejohanan berstatus Super 500 itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin kekal dengan 91,090 mata setelah meraih pencapaian sama edisi lalu tersekat dalam kelompok lapan terbaik.

Astrup-Rasmussen yang merupakan juara bertahan sebelum ini mengumpul 93191 mata, namun berdepan pemotongan sebanyak 2780 menjadikan mata jatuh kepada 90411.

Aaron-Wooi Yik pula kekal dengan status ketiga dunia menerusi 83,170 mata, namun juara Terbuka Thailand itu berpeluang merapatkan jurang mata andai meraih gelaran Malaysia Masters pada Ahad.

Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir daripada saingan suku akhir selepas tumpas di tangan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 19-21, 21-7, 21-16.

Kedudukan rasmi ranking tersebut akan dikemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong adalah pasangan Malaysia terakhir yang menduduki tempat teratas antara 10 November 2016 dan 16 Mac 2017.

Pencapaian tersebut dijangka membakar semangat Sze Fei-Nur Izzuddin yang mesra disapa ‘Fei-Din’ untuk mengharungi saingan Terbuka Singapura bermula Selasa ini.



Source link

OR

Scroll to Top