Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin tewas kepada pasangan India dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Jumaat. Foto Agensi
BANYAK kerja rumah menanti pasangan nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila perjalanan mereka dalam Kejohanan Terbuka Singapura tersekat di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Bukan itu yang diharapkan, namun pasangan profesional negara itu terpaksa akur apabila tewas kepada pasangan nombor 27 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty secara straight set.
Malah, kekalahan itu seakan menjadi badi buat Sze Fei-Nur Izzuddin apabila pasangan dari India tersebut terus melebarkan rekod kemenangan kepada 7-2 ke atas mereka.
Gandingan negara yang dikenali dengan julukan Fei-Din tampak goyah dalam permainan pertama apabila pasangan lawan mendominasi gelanggang dan menang 21-17.
Fei-Din cuba mengubah rentak permainan dalam set kedua, namun gagal menemui formula terbaik, sekali gus menyerahkan kemenangan kepada Satwiksairaj-Chirag dengan keputusan 15-21 dalam tempoh 39 minit.