INDAHNYA ajaran Islam apabila setiap sesuatu yang berlaku itu ada garis panduan yang diajarkan ALLAH SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW.
Tidak terkecuali dalam fenomena alam seperti gerhana bulan penuh yang berlaku baru-baru ini.
Sinar Islam Plus menemu bual Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Negeri Perak, Ustaz Ahmad Humaizi Abdul Wahab bagi menjelaskan perkara itu lebih mendalam.
Beliau memulakan kalam dengan bertasbih kepada ALLAH SWT yang mengatur pergerakan makhluk-makhluk-NYA termasuk pergerakan matahari, bulan dan bumi yang berpusing dan berputar di atas orbitnya seperti dirakamkan ALLAH dalam ayat ke-33 surah al-Anbiya’.
USTAZ AHMAD HUMAIZI
Ujarnya, fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi berada pada satu garis lurus dan ia menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bulan.
“Rasulullah SAW dalam fenomena ini mendidik umatnya agar membesarkan ALLAH SWT pada saat berlakunya gerhana,” katanya ketika ditemui ketika program cerapan gerhana bulan penuh anjuran Sahabat Langit Utara (Salut) di Kurau Inn, Kuala Kurau, Perak.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT. Gerhana itu bukan kerana mati atau hidupnya seseorang. Apabila kamu melihatnya (gerhana), maka berdoa, bertakbir, bersedekah dan tunaikanlah solat gerhana.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ujarnya, para ulama berpesan ketika berlakunya gerhana, maka ambillah peringatan berikut:
1 – Tunaikanlah solat sunat gerhana secara berjemaah.
2 – Perbanyakkan istighfar dan taubat.
3 – Perbanyakkan sedekah.
4 – Jangan terpengaruh dengan perkara khurafat dan tahyul.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, gerhana merupakan sebahagian daripada perbahasan ilmu falak.
“Ilmu falak merujuk kepada ilmu yang membicarakan mengenai jirim-jirim di angkasa di atas orbitnya serta kesannya terhadap fenomena alam.
“Ilmu falak syarie sering membicarakan tentang waktu solat, arah kiblat, takwim dan gerhana manakala ilmu falak tradisional mengaitkan kehidupan manusia dengan alam sekeliling,” hurainya.
Selain itu ujarnya, perbincangan mengenai ayat-ayat kauniah dalam al-Quran dan hadis juga termasuk dalam pengertian ilmu falak, di sampung aspek-aspek astronomi dan angkasa lepas yang lain.

GERHANA bulan penuh menyebabkan bulan berwarna merah kerana terkena bayang-bayang bumi.
Kelebihan belajar ilmu falak
Beliau yang juga seorang guru kemudiannya menyenaraikan kelebihan mempelajari ilmu falak, antaranya:
1 – Ilmu falak mendekatkan pemikiran kepada fenomena alam semesta ciptaan ALLAH SWT secara tidak langsung mendekatkan diri kepada kebesaran-NYA.
2 – Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar memerhatikan pergerakan bulan, bintang, matahari dan bayang-bayang yang seterusnya menatijahkan perbuatan untuk ingat dan berzikir kepada Penciptanya.
3 – Ilmu falak membolehkan kita mengira dengan ketepatan yang tinggi waktu solat, permulaan puasa, penentuan tarikh hari raya, gerhana bulan dan matahari serta hari wufuk di Arafah dan ibadah-ibadah lain.
4 – Ilmu falak banyak terkait dengan waktu dan masa. Maka secara tidak langsung mendidik kita agar menjaga ketepatan masa dan menguruskannya dengan baik.
5 – Ilmu falak tradisional menggalakkan seseorang dalam membuat pemerhatian berterusan terhadap fenomena alam.
6 – Ayat kauniah (membahaskan mengenai makhluk tidak bernyawa bernyawa seperti langit, bumi, cakerawala, gunung-ganang, lautan dan sebagainya) dalam al-Quran merupakan cabang ilmu falak.

USTAZ AHMAD HUMAIZI ketika menyampaikan khutbah khas gerhana ketika gerhana bulan penuh sedang berlaku.
7 – Fenomena alam semesta seperti pergerakan bintang, matahari, bumi dan bulan yang boleh dihitung dan dicerap mencetuskan keinsafan kepada seorang pengkaji ilmu falak.
Sebelum mengundurkan diri, Ustaz Ahmad Humaizi berpesan ketika berlakunya fenomena gerhana, umat Islam hendaklah:
1 – Perbanyakkan zikrullah, istighfar dan bersedekah.
2 – Islam menuntut umatnya agar mempelajari dan menguasai ilmu falak dan astronomi. Sejarah Islam telah mencatatkan ramai tokoh ilmuwan Islam dalam bidang falak seperti al-Khawarizmi, al-Biruni, Ulugh Beg dan lain-lain.
3 – Mempelajari ilmu falak mendekatkan seseorang kepada kebesaran dan keagungan ALLAH SWT yang mencipta alam semesta.
4 – Al-Quran mengisyaratkan pelbagai fakta yang berkaitan dengan ilmu falak dan astronomi yang telah terbukti benar melalui kenyataan sains dan teknologi pada masa kini.