Paris: Pemerhati bintang menikmati fenomena ‘bulan berdarah’ pada malam Ahad ketika gerhana bulan penuh yang dapat dilihat di seluruh Asia serta sebahagian besar Eropah dan Afrika.
Apabila matahari, bumi, dan bulan berada dalam satu garisan, bayang-bayang bumi yang jatuh ke atas permukaan bulan menyebabkan ia kelihatan berwarna merah pekat, satu pemandangan yang mengagumkan manusia sejak ribuan tahun.
Penduduk di Asia, termasuk India dan China, berada di lokasi terbaik untuk menyaksikan gerhana penuh pada Ahad, yang turut dapat dilihat di bahagian timur Afrika serta di Australia Barat.
Gerhana bulan penuh itu berlangsung dari jam 1730 GMT hingga 1852 GMT (antara jam 1.30 hingga 2.52 pagi waktu Malaysia).
Pemerhati langit di Eropah dan Afrika turut berpeluang melihat gerhana bulan separa ketika bulan mula terbit pada awal malam, namun benua Amerika terlepas daripada fenomena ini.
Bulan kelihatan merah ketika gerhana bulan kerana satu-satunya cahaya matahari yang sampai kepadanya adalah cahaya yang ‘dipantul dan diserakkan melalui atmosfera bumi,” kata Ahli Astrofizik Universiti Queen’s, Belfast, Ireland Utara, Ryan Milligan.
Gelombang cahaya biru lebih pendek berbanding cahaya merah, menyebabkan ia lebih mudah diserakkan ketika melalui atmosfera bumi.
“Itulah sebabnya bulan kelihatan berwarna merah berdarah,” katanya kepada AFP.
Tidak seperti gerhana matahari yang memerlukan cermin mata khas atau projektor lubang jarum untuk dilihat dengan selamat, gerhana bulan dapat disaksikan secara terus di lokasi yang sesuai namun memerlukan cuaca yang baik.
Gerhana bulan penuh terakhir berlaku pada Mac tahun ini, manakala sebelumnya pada tahun 2022.
Satu lagi gerhana matahari penuh yang jarang berlaku, apabila bulan menutupi cahaya matahari sepenuhnya dijangka dapat dilihat di sebahagian kecil Eropah pada 12 Ogos 2026.
Gerhana penuh tahun hadapan, yang pertama di tanah besar Eropah sejak 2006 hanya akan dapat disaksikan sepenuhnya di Sepanyol dan Iceland, namun negara lain akan dapat melihat gerhana matahari separa yang ketara.
© New Straits Times Press (M) Bhd