Ferdinand dedah kesilapan terbesar Manchester United

Ferdinand dedah kesilapan terbesar Manchester United


BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mendedahkan kesilapan perpindahan terbesar yang dilakukan kelab itu sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

United yang dianggap sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris berdepan tempoh suram selepas Ferguson meninggalkan Old Trafford pada 2013.

Bukan sahaja gagal menjulang sebarang kejuaraan liga, malah musim lalu Red Devils sekadar menamatkan saingan di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Musim ini pula, nasib United terus malang apabila pasukan bimbingan Ruben Amorim dikejutkan dengan kekalahan memalukan kepada kelab Liga Dua, Grimsby Town.

Selain kegagalan di atas padang, dasar pengambilan pemain juga sering dipertikai. Ferdinand percaya United sepatutnya berada dalam ‘keadaan berbeza’ sekiranya berjaya mendapatkan khidmat Harry Kane dan Declan Rice.

United pernah berada dalam perebutan untuk menandatangani kedua-dua pemain itu, namun Kane akhirnya memilih Bayern Munich manakala Rice menyertai Arsenal.

“Itu kesilapan terbesar mereka dalam 10 tahun terakhir,” kata Ferdinand menerusi saluran YouTube miliknya merujuk kepada kegagalan United membawa masuk kapten England, Kane.

“Kalau mereka sanggup bayar harga yang diminta Spurs, Kane pasti jadi milik United. Sukar dipercayai hanya kerana beberapa juta pound, perpindahan itu tidak berlaku. Ia satu keputusan yang sangat buruk.

“Saya benar-benar yakin jika United dapat Kane dan Rice dalam jendela perpindahan itu, keadaan pasukan sekarang jauh berbeza. Dua pemain ini mampu mengubah persekitaran kerana profesionalisme mereka,” katanya.

Kane sebelum ini meledak 280 gol dalam 435 penampilan bersama Tottenham dan dianggap antara penjaring paling prolifik dalam sejarah EPL.

Selepas dikaitkan dengan perpindahan ke United dan Manchester City, Kane akhirnya berhijrah ke Jerman pada 2023 untuk menyertai Bayern Munich.

Di Bundesliga, reputasi Kane terus menyinar apabila menjaringkan 91 gol dalam 100 penampilan sekali gus membantu Bayern merangkul kejuaraan liga musim lalu.

Sementara itu, Rice pula muncul sebagai salah seorang pemain tengah terbaik EPL sejak menyertai Arsenal dari West Ham.

Pemain tengah England itu telah membuat lebih 50 penampilan dalam dua musim kebelakangan ini dan hampir membantu Arsenal menamatkan penantian kejuaraan liga.



Source link

OR

Scroll to Top