LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand menggesa bekas kelabnya supaya melakukan pusingan U terhadap keputusan melepaskan Casemiro secara percuma pada musim panas ini.
Gesaan itu dibuat susulan prestasi memukau pemain tengah Brazil itu di bawah kendalian Michael Carrick yang kini telah memacu The Red Devils mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, termasuk kemenangan bergaya 2-0 ke atas Tottenham, Sabtu lalu.
Casemiro dilihat kembali menemui rentak terbaiknya dan menjadi tunjang utama pasukan di bawah bimbingan Carrick.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Old Trafford sebelum ini telah mengesahkan bahawa bekas bintang Real Madrid itu akan meninggalkan kelab sebaik sahaja kontraknya tamat pada penghujung musim ini.
Bercakap di saluran YouTube miliknya selepas kemenangan ke atas Spurs, Ferdinand menegaskan United perlu menimbang semula keputusan itu dan menawarkan lanjutan kontrak selama setahun.
“Dengar sini, ke mana dia (Casemiro) mahu pergi? Dia perlu tandatangan perjanjian baharu. Kita perlu dapatkan dia sekarang, tawarkan kontrak baharu.
“Ini kerana kita terpaksa keluar mencari pengganti dan dengan cara dia beraksi ketika ini, kita perlu berbelanja besar untuk mencari pemain yang mampu menggantikan peranan Casemiro seperti mana dia bermain di bawah Michael Carrick.
“Laporan mengatakan itu adalah posisi yang akan diteliti pada musim panas nanti, saya harap mereka (pengurusan) teliti dalam penyelidikan dan pengambilan pemain,” kata Ferdinand.
Ringkasan AI
- Legenda Manchester United, Rio Ferdinand, menggesa kelabnya supaya tidak melepaskan Casemiro secara percuma
- Prestasi Casemiro meningkat bawah kendalian Michael Carrick, membantu United mencatat empat kemenangan berturut-turut
- Casemiro menjadi tunjang utama pasukan di bawah bimbingan Carrick
- Pihak pengurusan Old Trafford telah mengesahkan Casemiro akan meninggalkan kelab pada penghujung musim
- Ferdinand menyarankan United menawarkan lanjutan kontrak selama setahun kepada Casemiro





