BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengakui beliau berasa lega apabila penjaga gol, Andre Onana akhirnya meninggalkan kelab itu selepas dua tahun bersama.
Onana yang dianggap gagal menyerlah di Old Trafford telah bersetuju untuk menyertai kelab Turki, Trabzonspor secara pinjaman semusim.
Perpindahan itu juga bakal menjanjikan kenaikan gaji besar kepada pemain Cameroon berusia 28 tahun itu hasil yuran tandatangan dan bonus.
Manchester United tidak menerima sebarang yuran pinjaman, malah Trabzonspor juga tidak diberikan pilihan untuk membeli Onana secara tetap selepas kontrak pinjamannya tamat pada 30 Jun depan.
Bagi United, ia bermakna satu lagi pemain yang tidak dikehendaki berjaya disingkirkan ketika kelab sedang berusaha bangkit semula di bawah kendalian Ruben Amorim.
Ferdinand menerusi rancangan Rio Ferdinand Presents berkata beliau menarik nafas lega sebaik mendengar berita perpindahan Onana.
“Debat? Awak fikir ia menjadi satu perdebatan? Saya rasa Omar Berrada (ketua operasi bola sepak United) sudah tekankan bahawa kelab tidak lagi akan menyimpan pemain yang tidak layak berada di sini.
“Mereka tidak akan simpan pemain yang tidak cukup bagus, tidak berprestasi atau tidak sesuai dengan budaya kelab. Dah terlalu lama kelab ini terpaksa tanggung pemain seperti itu,” katanya.
Musim panas lalu, United menamakan lima pemain dalam ‘skuad buangan’ dan kini empat daripadanya sudah meninggalkan kelab sama ada secara tetap atau pinjaman.
Marcus Rashford dipinjamkan ke Barcelona, Jadon Sancho ke Aston Villa, Alejandro Garnacho berpindah ke Chelsea manakala Antony berhijrah tetap ke Real Betis. Tyrell Malacia pula masih kekal di Old Trafford.
Selain Onana, beberapa lagi pemain utama turut dilepaskan termasuk Rasmus Hojlund, Victor Lindelof dan Christian Eriksen.
“Saya rasa ini langkah tepat. Saya gembira dengan pemain baharu yang masuk, tetapi pada masa sama lebih gembira dengan usaha kelab menyingkirkan mereka yang tidak sepatutnya berada di sini.
“Ia beri mesej jelas kepada pemain lain – kalau anda bukan apa yang kelab mahukan, anda takkan bertahan lama di sini. Itu sepatutnya jadi budaya di mana-mana kelab,” ujarnya.






