Pemain United dinilai tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama ketika menentang Everton. FOTO: AFP
BEKAS pemain Manchester United, Rio Ferdinand mengakui The Red Devils beraksi sangat teruk terutama pada separuh masa pertama ketika mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Everton pada Sabtu.
Ferdinand berkata, pemain United seolah-olah kurang bersemangat dan tiada kemahuan untuk bermain sehingga terlebih dahulu ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.
Everton mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Beto dan Abdoulaye Doucoure sebelum gol Bruno Fernandes dan Manuel Ugarte menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata.
“Saya duduk di sini dan saya tidak tahu sama ada saya pernah melihat pasukan United seteruk ini. Ia memalukan dalam semua aspek permainan yang berbeza.
“Ya, kita boleh bercakap tentang kualiti, anda bercakap tentang bakat, tetapi satu perkara yang tidak boleh dimaafkan ialah kekurangan keinginan.
“Terdapat contoh dalam perlawanan ini dan mereka perlu belajar daripada kesilapan. Ia memalukan untuk duduk di sini dan menontonnya,” katanya semasa menjadi pengulas TNT Sports ketika separuh masa pertama perlawanan antara United dan Everton.
Dia kemudiannya mengulangi masalah dialami United selepas perlawanan berakhir selain memuji impak ditunjukkan Garnacho yang masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol penyamaan.
“Gol mengubah perlawanan. Saya rasa Garnacho telah memberi impak yang besar. Ia adalah Manchester United yang sama sekali berbeza dengan pemain yang bermain pada separuh masa pertama,” katanya.