Johannesburg: Zinedine Ferhat muncul wira apabila mencipta gol pembukaan sebelum meledak jaringan kemenangan untuk membantu Mouloudia Alger menewaskan Al Hilal dari Sudan 2 1, sekali gus menghidupkan persaingan Kumpulan C Liga Juara Juara CAF, awal pagi tadi.
Moslem Anatouf membuka tirai jaringan seawal minit ke 15 sebelum Ferhat menghadiahkan gol kedua menerusi rembatan padu pada minit ke-44 untuk membolehkan wakil Algeria itu mendahului dua gol ketika rehat di hadapan hampir 45,000 penyokong di Stadium Algiers.
Al Hilal yang jarang mengancam sepanjang perlawanan hanya berjaya merapatkan jurang pada minit ke 77 menerusi jaringan Ahmed Salem M’Bareck dari Mauritania, namun kebangkitan itu gagal diterjemahkan apabila percubaan lewat Kamaradini Mamudu tersasar.
Kemenangan tersebut menyaksikan Mouloudia melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata selepas sebelum ini hanya mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan, hasil dua kemenangan berturut turut di laman sendiri ke atas Saint Eloi Lupopo dan Al Hilal.
Al Hilal bagaimanapun kekal di puncak kumpulan dengan lapan mata meskipun tewas buat kali pertama, satu pencapaian mengagumkan memandangkan kelab Sudan itu terpaksa mengharungi perlawanan laman sendiri di Rwanda susulan konflik perang saudara yang berterusan di negara mereka.
Mamelodi Sundowns dari Afrika Selatan kini menghuni tangga ketiga dengan lima mata, satu mata di hadapan Lupopo menjelang pertembungan kedua dua pasukan itu di Lubumbashi, esok.
Kemenangan buat Lupopo bakal meletakkan Sundowns dalam situasi berbahaya untuk gagal mara ke pusingan kalah mati buat kali kedua sejak menjuarai edisi 2016 menewaskan Zamalek dari Mesir.
Pada perlawanan terakhir kumpulan 14 Februari ini, Al Hilal akan melayan Lupopo, manakala Sundowns memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri menentang Mouloudia yang dibimbing jurulatih dari Afrika Selatan, Rhulani Mokwena, bekas pengendali kelab Pretoria itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






