Fernandes merupakan pemain utama dalam perancangan jangka panjang Ruben Amorim.
MANCHESTER United menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk menjual Bruno Fernandes kepada mana-mana kelab dari Arab Saudi.
Laporan awal minggu ini mendedahkan bahawa kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal berminat untuk mendapatkan khidmat Fernandes sebagai pembelian marquee atau pemain bertaraf dunia.
Namun begitu, United tidak bercadang untuk mempertimbangkan sebarang tawaran memandangkan Fernandes merupakan pemain utama dalam perancangan jangka panjang Ruben Amorim.
Sebelum ini, Al-Hilal juga pernah menyasarkan bintang Liverpool, Mohamed Salah tetapi pemain Mesir itu telah mengesahkan komitmennya untuk kekal di Anfield.
Tahun lalu, Fernandes telah menandatangani lanjutan kontrak hingga musim panas 2027 dengan pilihan sambungan selama 12 bulan.
Fernandes memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Sir Matt Busby buat kali ketiga musim lalu dan dijangka bakal memenanginya sekali lagi musim ini.
Hanya David de Gea dan Cristiano Ronaldo pernah memenangi anugerah itu sebanyak empat kali.
Pemain tengah Portugal itu turut menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam saingan Liga Europa minggu lalu dan terus memainkan peranan penting walaupun pasukan bergelut musim ini.
Sebagai rekod, Fernandes telah terlibat secara langsung dalam 35 gol dalam semua pertandingan musim ini dengan menjaringkan 19 gol dan mencipta 16 bantuan gol.
Fernandes kini hanya memerlukan dua gol lagi untuk mencapai 100 gol bersama The Red Devils dalam semua pertandingan.