MANCHESTER United mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, hasil jaringan Bruno Fernandes dan Casemiro.
Perlawanan bermula dengan insiden apabila Chelsea kehilangan penjaga gol, Robert Sanchez, yang dilayangkan kad merah seawal minit kelima selepas melakukan terjahan keras ke atas Bryan Mbeumo.
Situasi itu memaksa pengendali The Blues, Enzo Maresca, melakukan tiga pertukaran dalam 21 minit pertama merupakan rekod paling awal dalam sejarah EPL.
United memanfaatkan kelebihan pemain apabila Fernandes membuka tirai jaringan pada minit ke-18 sekali gus mencatat gol ke-100 bersama kelab itu.
Casemiro kemudian menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-37 hasil gerakan Luke Shaw.
Namun kegembiraan pemain Brazil itu tidak bertahan lama selepas dia dilayangkan kad kuning kedua beberapa minit sebelum rehat.
Situasi itu menjadikannya pemain pertama sejak Emmanuel Adebayor pada 2012 yang menjaringkan gol dan dibuang padang dalam separuh masa pertama aksi EPL.
Chelsea cuba bangkit pada separuh masa kedua berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan Trevoh Chalobah, 10 minit sebelum tamat permainan.
United kelihatan gugup di penghujung perlawanan namun berjaya bertahan dengan baik diketuai kecemerlangan penjaga gol, Altay Bayindir.
Sementara itu, Amorim mengakui kemenangan berkenaan melegakan selepas tekanan meningkat akibat prestasi hambar sebelum ini.
“Kami bermula agresif, malah tanpa kad merah sekalipun kami masih mengawal permainan.
“Separuh masa kedua agak sukar, tetapi pemain menunjukkan keinginan tinggi untuk menang,” katanya.
Dalam pada itu, Maresca pula kecewa dengan kesilapan awal Sanchez yang menjejaskan perancangan juara Piala Dunia Kelab tersebut.
“Permainan berubah selepas kad merah. Lebih baik kami ketinggalan 0-1 selepas lima minit daripada beraksi dengan 10 pemain.
“Semua perancangan hilang sebaik sahaja Robert diarahkan keluar padang. Dia sendiri sedar kesilapan itu,” jelasnya.
Kekalahan ini menyaksikan Chelsea terus buntu di Old Trafford dengan rekod 13 perlawanan liga terakhir tanpa kemenangan rentetan terpanjang menentang mana-mana pasukan dalam sejarah EPL.
LIGA PERDANA INGGERIS
KEPUTUSAN
Liverpool 2-1 Everton
Burnley 1-1 Nottingham Forest
Brighton 2-2 Tottenham Hotspur
West Ham United 1-2 Crystal Palace
Wolverhampton 1-3 Leeds United
Manchester United 2-1 Chelsea
Fulham 3-1 Brentford
AHAD (21 SEPTEMBER)
Sunderland lwn Aston Villa, 9 malam
Bournemouth lwn Newcastle United, 9 malam
Arsenal lwn Manchester City, 11.30 malam
Ringkasan AI
- Manchester United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chelsea
- Chelsea kehilangan penjaga gol Robert Sanchez yang dilayangkan kad merah seawal minit kelima
- Fernandes dan Casemiro menjaringkan gol bagi Manchester United
- Casemiro menerima kad kuning kedua sebelum rehat menjadi pemain pertama sejak 2012 menjaringkan gol dan dibuang padang dalam separuh masa pertama aksi EPL
- Chelsea gagal memutus rentetan tanpa kemenangan di Old Trafford selama 13 perlawanan liga