BRUNO Fernandes meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap ‘malas’ segelintir rakan sepasukannya dalam aksi pramusim selepas Manchester United sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Everton pada Isnin.
Walaupun The Red Devils menjuarai kejohanan Premier League Summer Series, prestasi yang dipamerkan menimbulkan kebimbangan apabila mereka dua kali melepaskan kelebihan jaringan.
Bercakap selepas perlawanan itu, Fernandes yang menjaringkan gol pertama dan mencipta umpanan untuk gol kedua United, secara terbuka mengakui bahawa kelab itu masih belum berada di tahap yang sepatutnya menjelang musim 2025–2026.
“Kami tak mahu menamatkan aksi dengan cara begini,” kata Fernandes selepas perlawanan persahabatan itu. “Persembahan kami hari ini tanpa bola tidak begitu baik.
“Kami kelihatan agak malas dan perkara itu perlu dielakkan. Kelab ini sedang menunjukkan peningkatan, tetapi masih belum berada pada tahap yang diharapkan.”
Fernandes turut menolak sebarang isu besar berhubung pertembungannya dengan pemain Everton, Iliman Ndiaye dan menyifatkan jelajah pramusim ke Amerika Syarikat sebagai satu pengalaman yang positif, selepas kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu menentang AFC Bournemouth dan West Ham berjaya menjulang mereka sebagai juara Summer Series.
“Ini hanya satu perlawanan bola sepak, sentiasa ada semangat dalam permainan,” tambah Fernandes.
“Apa yang berlaku, biarlah berlaku. Tiada apa-apa yang luar biasa, ia perkara biasa dalam bola sepak.
“Jelajah ini memberi impak positif dan bagus untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemain,” katanya.