Fernandes ledak dua gol bantu United atasi West Ham

Fernandes ledak dua gol bantu United atasi West Ham


Bruno Fernandes FOTO: AFP

BINTANG Manchester United, Bruno Fernandes, meledak dua gol ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas West Ham dalam aksi pembukaan Siri Musim Panas Premier League di New Jersey, Amerika Syarikat pada Ahad.

Kapten United itu memanfaatkan dua kesilapan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola untuk memastikan kemenangan buat skuad kendalian Ruben Amorim dalam keadaan cuaca panas terik di Stadium MetLife.

Areola jelas menjadi punca utama dua jaringan United, manakala cubaan bangkit oleh West Ham menerusi jaringan Jarrod Bowen tidak cukup untuk menghalang kemenangan juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu.

Fernandes membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti selepas Areola melakukan kekasaran ke atas Ayden Heaven walaupun tiada ancaman ketara.

Gol kedua United hadir pada minit ke-52 apabila hantaran lemah Areola dari kawasan pertahanan dipintas Kobbie Mainoo, yang kemudiannya melorongkan bola kepada Fernandes untuk menyudahkan dengan tenang melepasi Areola yang jauh dari posisinya.

Bowen merapatkan jurang pada minit ke-63 hasil penyudah cerdik dan hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun penjaga gol gantian, Altay Bayindir, bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

“Ia satu permulaan yang baik walaupun hanya perlawanan persahabatan. Kami tetap mahu menang setiap perlawanan sebagai persediaan terbaik sebelum musim bermula.

“Secara keseluruhan permainan kami baik, kami menguasai bola dengan baik. Cuma ada ketika kami terlalu gopoh dan tidak mengekalkan penguasaan lebih lama. Itu antara perkara yang perlu kami perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Bournemouth meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Everton dalam satu lagi aksi yang berlangsung di venue sama lebih awal.

Gol daripada Philip Billing, Dango Outtara dan Daniel Adu-Adjei memastikan kemenangan selesa buat skuad kendalian Andoni Iraola.

Selepas babak pertama yang suram, Billing membuka jaringan pada minit ke-55 dengan rembatan kencang selepas melepasi kawalan pemain pertahanan lawan.

Empat minit kemudian, Outtara menggandakan kelebihan Bournemouth menerusi percubaan deras ke penjuru gol selepas memanfaatkan kelekaan Nathan Patterson.

Adu-Adjei melengkapkan malam gemilang Bournemouth dengan gol ketiga pada minit ke-69 selepas menyambar hantaran ke belakang yang lemah daripada Jake O’Brien untuk menewaskan Pickford sekali lagi.



Source link

OR

Scroll to Top