London: Enzo Fernandez menerima layanan kurang menyenangkan daripada sebahagian penyokong Chelsea apabila diejek sebaik masuk sebagai pemain gantian ketika membantu pasukannya menewaskan Real Sociedad 3-1 dalam aksi persahabatan di Stamford Bridge, malam tadi.
Beberapa penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Fernandez ketika pemain Argentina itu dimasukkan pada minit ke-62 bagi menggantikan Reece James.
Fernandez sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Chelsea, malah memberitahu kelab itu pada Mei bahawa dia mahu berpindah.
Bagaimanapun, ada juga penyokong yang memberikan sokongan kepada pemain berusia 25 tahun berkenaan.
Chelsea dilaporkan meletakkan tanda harga £120 juta (RM668 juta) untuk pemain antarabangsa Argentina itu, namun belum menerima sebarang tawaran sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.
Fernandez sebelum ini menjaringkan gol penyamaan Argentina ketika menewaskan England pada separuh akhir Piala Dunia Julai lalu sebelum dilayangkan kad merah ketika pasukannya tewas kepada Sepanyol dalam aksi final.
Dalam perlawanan itu, pemain termahal Chelsea, Morgan Rogers menjaringkan gol pada penampilan pertamanya di Stamford Bridge selepas menyambar bola muntah susulan tandukan Joao Pedro yang diselamatkan penjaga gol.
Joao Pedro kemudian memastikan kemenangan buat Chelsea di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso menerusi dua gol untuk meningkatkan jumlah jaringan pramusimnya kepada lapan gol.
Real Sociedad sebelum itu menyamakan kedudukan menerusi Jon Aramburu.
Ia adalah aksi terakhir Chelsea sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang jiran mereka, Fulham.
“Ia perlawanan persiapan terakhir yang sangat baik.
“Bagi sesetengah pemain, ini adalah aksi pertama dan terakhir mereka. Ada perkara baik untuk kami, dan ada juga yang perlu diperbaiki. Itu normal pada ketika ini bagi sesetengah pemain.
“Hebat dapat menghimpunkan seluruh pasukan. Ada pemain yang baru bersama kami selama tiga hari tetapi mampu beraksi selama 60 minit.
“Ini ujian terakhir. Sekarang kami ada seminggu penuh untuk membuat persiapan menghadapi Fulham, tetapi perasaan di stadium hari ini sangat baik,” kata Alonso kepada laman sesawang Chelsea.
© New Straits Times Press (M) Bhd
