FESTIVAL Ramadan dan Aidilfitri bukan lagi sekadar medan jualan bermusim, sebaliknya ia kini berkembang menjadi platform gaya hidup yang menggabungkan pengalaman membeli-belah, aktiviti komuniti serta pengisian rohani.
Konsep itu dibawakan menerusi festival Gema Raya Putrajaya 2026 @PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) yang berlangsung selama 33 hari, bermula 15 Februari hingga 19 Mac depan.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, festival itu menghimpunkan lebih 230 vendor daripada pelbagai segmen termasuk fesyen, aksesori, makanan serta produk perusahaan kecil dan sederhana.
“Penganjuran selama 33 hari memberi ruang kepada pengunjung untuk datang pada bila-bila masa tanpa perlu bersesak dalam tempoh singkat.
“Tidak seperti festival lain yang berlangsung hanya beberapa hari, Gema Raya menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan, menjadikannya destinasi tetap warga Putrajaya setiap malam pada bulan Ramadan.
“Walaupun pada awal Ramadan kebiasaannya pengunjung tidak terlalu ramai kerana ramai memilih berbuka puasa bersama keluarga, tempoh penganjuran yang panjang ini memberi ruang kepada orang ramai merancang kunjungan pada waktu lebih sesuai, termasuk pada malam raya kerana festival ini akan beroperasi sehingga pukul 2 pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rayme berkata, selain pengalaman membeli-belah, keunikan Gema Raya Putrajaya 2026 terletak pada konsep berbuka puasa ‘di atas bukit’ yang menawarkan latar pemandangan malam Putrajaya yang memukau.
Jelasnya, khemah lutsinar berserta lampu khusus turut dipasang di kawasan helipad bagi mewujudkan suasana berbuka yang santai bersama keluarga dan rakan.
“Kita faham ada pengunjung yang tidak memilih pakej bufet Ramadan. Sebab itu kita tampilkan pelbagai vendor makanan pada festival kali ini supaya mereka boleh membeli juadah pilihan dan berbuka puasa di ruang yang disediakan sambil menikmati panorama langit indah Putrajaya,” ujarnya.
Rayme berkata, penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026 menerima sokongan daripada penaja utama iaitu Proton, Lotus’s dan Guardian, sekali gus memperkukuhkan lagi kredibiliti festival tersebut sebagai antara acara Ramadan dan hari raya berskala besar di Putrajaya.
Jelasnya, keseluruhan nilai tajaan yang diperoleh melebihi RM500,000, meskipun tempoh persiapan acara dilaksanakan kurang daripada tempoh tiga bulan.
“Kita bawakan ‘mini Lotus’s’ secara terus kepada pengunjung sempena festival ini, jadi mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis produk untuk membuat persiapan menjelang hari raya.
“Lotus’s turut dijadualkan memeriahkan festival menerusi pengisian seperti demonstrasi masakan dan aktiviti penyediaan biskut raya, sekali gus menambah nilai kepada pengalaman pengunjung yang bukan sahaja datang untuk membeli-belah, malah berpeluang menyertai aktiviti interaktif bersama keluarga,” katanya.

Kata Rayme, bagi meningkatkan lagi keterujaan para pengunjung sepanjang tempoh 33 hari penganjuran, Gema Raya Putrajaya 2026 turut menawarkan cabutan bertuah sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS, hasil kerjasama bersama pihak Proton selaku antara penaja utama festival berkenaan.
“Pengunjung perlu membuat pembelian minimum RM50 bagi melayakkan diri untuk menyertai cabutan tersebut. Mekanisme penyertaan pula kita laksanakan secara digital bagi memastikan proses pemilihan pemenang dijalankan secara lebih telus dan sistematik,” ujarnya.
Selaku penganjur, Rayme memaklumkan, ketika ini pihaknya masih membuka ruang kepada mana-mana penglibatan penaja atau rakan strategik bagi program khas seperti aktiviti hujung minggu, inisiatif kebajikan serta kempen kesedaran sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, festival itu turut mendapat kerjasama daripada PULSE Group serta disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Rayme optimis Gema Raya Putrajaya 2026 mampu menarik sehingga 80,000 pengunjung sepanjang 33 hari penganjuran, dengan pelbagai aktiviti disediakan termasuk sesi tazkirah harian dan program komuniti bersama institusi pengajian tinggi.
Katanya, bagi pencinta gaya hidup sihat, festival itu turut menampilkan ‘Moreh Run’, iaitu acara larian malam selepas solat sunat Tarawih.
Acara Kidslympic pula dianjurkan khusus untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bagi memberi mereka pengalaman merasai dan memahami suasana berbuka puasa dalam suasana yang menyeronokkan.
Festival juga akan diserikan dengan kemunculan artis popular seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali yang akan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih, termasuk nama baharu seperti Didie Shazry dan kumpulan Alpha.





