PETALING JAYA: Festival FGV menarik lebih 12,000 pengunjung sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 yang berlangsung selama dua hari di Perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka pada 6 dan 7 Julai lalu.
Penganjuran festival itu bersempena ulang tahun ke-70 FELDA, sekali gus menjadi platform kepada FGV Holdings Berhad (FGV) memperkenalkan pelbagai produk, perniagaan, inovasi serta teknologi agribisnes kepada warga peneroka dan masyarakat.
FGV berkata, syarikat menampilkan lebih lapan reruai mewakili pelbagai segmen perniagaan kumpulan selain menganjurkan lebih 25 aktiviti dan demonstrasi yang mendapat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat sepanjang festival tersebut.
“Sebagai sebahagian daripada kumpulan FELDA, penyertaan FGV mencerminkan komitmennya dalam menyokong pembangunan komuniti peneroka melalui pengenalan segmen perniagaan seperti perladangan, minyak dan lemak, gula, logistik dan sokongan serta produk pengguna.
“Festival turut memperlihatkan bagaimana hasil keluaran peneroka diproses menjadi pelbagai produk dan penyelesaian bernilai tambah yang digunakan dalam kehidupan harian.
“Antara tarikan utama ialah Warung FGV yang menghidangkan lebih 25,000 makanan dan minuman secara percuma menggunakan produk keluaran FGV seperti Saji, Seri Pelangi Dan Gula Prai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pengunjung turut disajikan hidangan bersaiz penuh seperti roti canai, nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, burger dan ayam goreng yang disediakan oleh pengusaha tempatan, sekali gus menyokong ekonomi setempat.
“Festival juga dimeriahkan dengan demonstrasi masakan, pertandingan tebar roti canai, sesi trivia, permainan interaktif, Active Arcade serta pelbagai aktiviti mesra keluarga yang menggabungkan elemen pembelajaran dan hiburan.
“Reruai Felda Travel turut menerima sambutan menggalakkan dengan menawarkan pakej umrah bermula RM5,555 seorang.
“Syarikat ini yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam pengurusan haji dan umrah terus komited menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan,” katanya.
Kemuncak festival menyaksikan pelancaran fasa baharu percubaan Biodiesel B100 dalam operasi perladangan FGV yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Peneroka FELDA 2026.
Percubaan itu melibatkan penggunaan Biodiesel B100 pada jentera perladangan bagi menilai prestasi teknikal dan operasinya dalam persekitaran ladang sebenar.
“Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen FGV memperkukuh inovasi sektor agribisnes selaras agenda peralihan tenaga, kelestarian industri sawit serta usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Pengunjung turut berpeluang melihat pelbagai teknologi, jentera dan penyelesaian agribisnes yang dipamerkan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta daya saing industri.
“Selain itu, kempen Beli & Menang serta jualan produk pengguna pada harga promosi berjaya menarik lebih 1,200 penyertaan, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap jenama keluaran FGV,” jelasnya. – UTUSAN






