Festival Padang Besar promosi warisan kebudayaan, perkukuh perpaduan

Festival Padang Besar promosi warisan kebudayaan, perkukuh perpaduan

Festival Padang Besar promosi warisan kebudayaan, perkukuh perpaduan


PADANG BESAR: Penganjuran Festival Padang Besar 2026 bukan sahaja menyerlahkan keunikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan, malah turut menjadi platform untuk mempromosikan warisan budaya serta merancakkan ekonomi setempat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abd. Hamid berkata, festival berkenaan juga merupakan inisiatif amat bermakna dalam usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat melalui penganjuran menggabungkan elemen pelancongan, kebudayaan, kesenian, sukan dan keusahawanan.

Katanya, penganjuran festival itu juga membuktikan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat mampu menghasilkan sebuah program yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Saya percaya usaha seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim, menyemai semangat perpaduan dan memupuk rasa bangga terhadap warisan serta identiti negara.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, perpaduan bukan sekadar slogan, malah perlu
diterjemahkan melalui penglibatan aktif masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Festival seperti ini juga menjadi medium terbaik untuk memupuk persefahaman, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita,” katanya merasmikan Festival Padang Besar 2026 di Padang Besar Street di sini semalam.

Hadir sama, Exco kerajaan negeri, Izizam Ibrahim: Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) merangkap Pengarah Festival Padang Besar, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman; Pengarah Urusan PZS Group, Zohari Zakaria dan Pengarah Padang Besar Street, Zohafiz Zohari.

Program julung kali diadakan anjuran Putra Trail Running Club dengan kerjasama Padang Besar Street itu menyajikan pelbagai pengisian menarik seperti permainan tradisional dan rakyat, persembahan kesenian dan kebudayaan, larian serta pelbagai program menarik melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum.

Haslina turut berbangga kerana Festival Padang Besar 2026 menyokong usaha mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berpotensi tinggi, sekali gus menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Perlis dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, kedudukan strategik Padang Besar sebagai pintu masuk utama di sempadan Malaysia-Thailand memberikan kelebihan menarik lebih ramai pelancong serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Saya berharap Festival Padang Besar akan terus berkembang sebagai acara tahunan yang berprestij dan menjadi kebanggaan Perlis.

“Semoga festival ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan, pengukuhan perpaduan masyarakat, pemerkasaan usahawan tempatan serta pemeliharaan seni, budaya dan warisan negara untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top