Soalan:
Sekarang telah ramai perempuan memakai seluar yang singkat yang apabila berjalan di khalayak akan nampak ketingnya dan terkadang nampak betisnya. Apakah hukumnya perempuan memakai seluar seperti itu?
Jawapan:
Orang perempuan apabila keluar dari rumahnya wajib dia memakai pakaian yang menutup sekalian badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangannya.
Jika orang perempuan hendak memakai seluar keluar rumah maka wajiblah seluarnya itu labuh dan longgar maka jika nampak kedua kakinya atau nampak tumitnya apatah lagi sampai nampak keting dan betisnya maka perempuan tersebut berdosa kerana tidak menutup auratnya.
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. adalah Rasulullah bersabda tentang tumit perempuan:
إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّى ظُهُورَ قَدَمَيْهَا
Ertinya: “Apabila adalah pakaian perempuan itu labuh sampai menutup akan belakang dua tapak kakinya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kerana itulah ulamak menetapkan haram hukumnya perempuan itu menampakkan dua tumitnya kepada selain dari mahramnya dan keting dan betis pula adalah lebih lagi haram dibuka.
Berkata Mufti Jordan Dr Nuh Ali Sulaiman:
قرر الفقهاء أن جميع بدن المرأة عورة أمام الأجانب إلا الوجه والكفين فيحرم عليك أن تظهري شيئا من قدميك للرجال غير المحارم
Ertinya: “Telah menetapkan oleh fuqahak bahawasanya sekalian badan perempuan adalah aurat di hadapan segala lelaki ajnabi kecuali wajah dan dua pergelangan tangannya. Maka haram atas kamu menampakkan suatu dari dua tapak kakimu kepada segala lelaki selain dari sekalian mahram.” (Majlis Fatwa Jordan)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 1/1/2025