PENGENDALI Feyenoord Rotterdam, Robin van Persie mengakui kelab Eredivisie Belanda, De Trots van Zuid itu memerlukan masa untuk mengecapi kejayaan seperti era Arne Slot sebelum ini.
Feyenoord memulakan kempen pusingan 16 Liga Juara-Juara dengan kekalahan 0-2 kepada gergasi Serie A Itali, Inter Milan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium De Kuip.
Jaringan Marcus Thuram pada minit ke-38 dan Lautaro Martínez (m-50) menyaksikan De Trots van Zuid perlu bekerja keras timbal balik kedua di San Siro, 12 Mac depan.
“Pemain-pemain saya telah memberikan segalanya dalam perlawanan ini dan saya tidak boleh meminta lebih daripada itu.
“Saya bukan jurulatih yang terlalu memberikan fokus untuk memenangi sesuatu perlawanan.
“Sejujurnya, saya memberi tumpuan kepada tenaga, bahasa badan dan meninggalkan semua yang anda miliki di atas padang,” kata Van Persie, akui memerlukan masa menghidupkan aura pemerintahan Slot.
Sebagai rekod, Slot mengambil alih tanggungjawab di Feyenoord pada 2021 mencipta kejayaan yang ketara.
Feyenoord kendalian Slot mara ke final Liga Konferensi Eropah pada musim pertamanya selain memenangi gelaran Eredivisie pada musim 2022-23.
Pada tahun 2024, Arne Slot diumumkan akan mengambil alih jawatan pengurus kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool bagi menggantikan Jurgen Klopp.
Slot sebelum ini terkenal dengan gaya permainan menyerang dan keupayaan untuk membangunkan pemain muda.
Malah, Slot juga dipuji kerana kemahiran taktikalnya dan keupayaannya untuk menyesuaikan pasukan dengan situasi permainan yang berbeza.
Mengulas kekalahan kepada Inter, van Persie yang juga legenda Arsenal, berkata: “Kami tahu pasukan berada dalam fasa yang mencabar tetapi itu bukan sebab kami tewas.
“Pemain yang bermain adalah pemain yang sangat bagus dan kami semua percaya kami masih dalam permainan.”