farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Filem cinta yang menerapkan elemen fiksyen sains, Imaginur dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini, malam ini.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan produksi filem terbabit, Lumatic Films Sdn Bhd menerima Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000 beserta trofi.
Selain pengiktirafan tertinggi terbabit, karya arahan Nik Amir Mustapha itu turut mencipta kegemilangan dengan membawa pulang enam lagi anugerah lain.
Bintang utamanya, Beto Kusyairy, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Nik Amir sendiri berjaya menjulang trofi Pengarah Terbaik.
Filem itu juga memenangi kategori Lagu Tema Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penyunting Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.
Bersaing dengan tujuh filem hebat iaitu Hungry Ghost Dinner, Abang Adik, Rain Town, Sheriff: Narko Integriti, Mechamato Movie dan Duan Nago Bogho, karya itu mengupas kisah cinta tetapi disulami elemen ‘hipnosis’ untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik serta berbeza daripada naskhah tempatan lain.
Trofi disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang merasmikan malam kemuncak festival berkenaan.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik Dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Seperti dijangka, lakonan hebat Susan Lankester dalam Rain Town melayakkannya dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Rabu lalu, nama Susan diumumkan sebagai Aktres Terbaik, Asian Academmy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura menerusi naskhah sama.
Lakonan mantap Elizabeth Tan dalam Sherif: Narko Intergriti berjaya meyakinkan juri untuk memilihnya sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, manakala Jack Tan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Abang Adik.
Menepati ramalan, pengarah filem Abang Adik, Jin Ong diangkat sebagai pemenang trofi Pengarah Harapan.
Trofi Pelakon Lelaki Harapan menjadi milik Aniq Durar hasil lakonan menerusi Pagari Bulan, manakala kategori Pelakon Wanita Harapan diungguli Trisha Ooi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam filem Janna Endoro.
Qisya Hairulzain dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Magik.
Kembali dipertandingkan selepas lima tahun, kategori Dokumentari Terbaik dimenangi Pekik terbitan Stereo Pixels Sdn Bhd, manakala The Missong Trophy (Wayang Works Sdn Bhd) merangkul trofi Filem Pendek Terbaik.
FFM 33 turut mengiktiraf filem Naam Katra Isai dan Duan Nago Bogho untuk menerima Anugerah Khas Juri.
Penghormatan juga diberikan kepada penolong pengarah dan pelakon, A Galak yang menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman.
Jasa dan sumbangan jurukamera senior, Indera Che Muda dalam industri perfileman turut mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan.
Kesemua pemenang menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas membawa pulang RM10,000 dan trofi
Bertemakan EMAS – Evolusi Sinema Malaysia, FFM 33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding.
Ini merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.
Malam kemuncak FFM 33 dihoskan artis serba boleh, Datuk AC Mizal.
Acara itu diserikan dengan persembahan barisan artis popular tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Aizat Amdan, Aisha Retno, Marsha Milan, Nikki Palikat, Amir Jahari, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor dan Aina Abdul.
Pemenang FFM 33
Filem Terbaik: Imaginur (Lumatic Films Sdn Bhd)
Pengarah Terbaik: Nik Amir Mustapha (Imaginur)
Pelakon Lelaki Terbaik: Beto Kusyairy (Imaginur)
Pelakon Wanita Terbaik: Susan Lankester ( Rain Town)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Jack Tan (Abang Adik)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Elizabeth Tan (Sheriff: Narko Integriti)
Pengarah Harapan: Jin Ong (Abang Adik)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Qisya Hairulzain (Magik)
Pelakon Wanita Harapan: Trisha Ooi (Janna Endoro)
Pelakon Lelaki Harapan: Aniq Durar (Pagari Bulan)
Lakon Layar Terbaik: Jin Ong (Abang Adik)
Sinematografi Terbaik: Rahimi Maidin (Sheriff: Narko Integriti)
Cerita Asal Terbaik: Redza Minhat & Nik Amir Mustapha (Imaginur)
Kostum & Busana Terbaik: Elaine Ng (Abang Adik)
Tatarias & Solekan Terbaik: Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin & Kua Goh Yoke Eng (Abang Adik)
Penataan Bunyi Terbaik: Nizam Razak (Mechamato Movie)
Penataan Seni Terbaik: Rabbani Sujak (Imaginur)
Kesan Khas Visual Terbaik: Viper Studios Sdn Bhd (Sheriff: Narko Intergriti)
Penyunting Terbaik: Johan Arif Mazlan (Imaginur)
Skor Muzik Asal Terbaik: Jacky Yow (Malbatt: Misi Bakara)
Poster Terbaik: Layar Pictures Sdn Bhd (Walid)
Lagu Tema Terbaik: Hasrat – Amir Jahari (Imaginur)
Dokumentari Terbaik : Pekik (Stereo Pixels Sdn Bhd)
Filem Pendek Terbaik: The Missing Trophy (Wayang Works Sdn Bhd)
Anugerah Khas Juri 1: Naam Katra Isai
Anugerah Khas Juri 2: Duan Nago Bogho
Filem Box Office: Sheriff: Narko Intergriti
Anugerah Khas Sepanjang Zaman: A Galak
Anugerah Khas Karyawan: Indera Che Muda
© New Straits Times Press (M) Bhd