KUALA LUMPUR: Menjelang Aidilfitri, keselamatan jalan raya diperkukuh apabila FGV Holdings Berhad dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Selamat 26 di Sogo Kuala Lumpur baru-baru ini.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya dan melancarkan trafik dan menyedarkan orang ramai agar lebih berhati-hati
Majlis berkenaan juga menzahirkan sokongan FGV terhadap usaha pihak berkuasa memastikan perjalanan selamat bagi mereka yang pulang ke kampung halaman.
Pelancaran disempurnakan Pengarah JSPT, Datuk Sri Muhammed Hasbullah Ali bersama Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
Program berlangsung di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee, termasuk aktiviti memasak dan mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk kepada anggota polis dan orang ramai.
Aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk semasa majlis berbuka puasa anggota trafik turut menggunakan produk keluaran FGV, termasuk Beras Wangi SAJI Aroma, Gula Prai, Minyak Masak SAJI, Santan SAJI dan Garam Gunung SAJI.
Semua aktiviti dijalankan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat FGV “FGV Seikhlas Hati”, yang menekankan nilai kebersamaan dan semangat prihatin terhadap masyarakat.
Sumbangan Ramadan turut disampaikan kepada 40 penerima terdiri daripada balu, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU), masing-masing menerima wang tunai RM200 serta barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, ketupat, krimer, gula, garam dan marjerin.
Tidak ketinggalan, seramai 150 anak anggota trafik turut menerima duit raya sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga mereka.
FGV menegaskan penghargaan terhadap pengorbanan anggota Polis Trafik yang terus bertugas memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama dalam tempoh perayaan.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong keselamatan awam, malah mengeratkan hubungan antara sektor korporat dan agensi penguatkuasaan.
Usaha ini selaras dengan nilai teras FGV dalam kerangka P.R.I.D.E, Kerjasama, Hormat, Integriti, Dinamisme dan Semangat serta menekankan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan masyarakat.
FGV percaya bahawa kejayaan syarikat bukan hanya diukur melalui prestasi kewangan, tetapi juga melalui sumbangan kepada komuniti, terutama di kawasan operasi syarikat.
Dalam menyambut Aidilfitri, FGV berharap sumbangan ini dapat menyebarkan kegembiraan serta meringankan beban penerima supaya mereka dapat meraikan perayaan bersama keluarga dengan penuh makna.
© New Straits Times Press (M) Bhd





