FIA tahan 23 penumpang Pakistan, guna visa lawatan untuk kerja di Malaysia

FIA tahan 23 penumpang Pakistan, guna visa lawatan untuk kerja di Malaysia

FIA tahan 23 penumpang Pakistan, guna visa lawatan untuk kerja di Malaysia


Karachi: Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) menahan 23 penumpang yang dalam perjalanan ke Malaysia menggunakan visa lawatan kerana berniat untuk bekerja dalam pekerjaan haram di negara itu, lapor media Dawn.

Menurut FIA, mereka dihalang daripada menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan, kerana tidak menyerahkan penyata bank wajib untuk visa lawatan dan tidak mempunyai dana mencukupi.

Difahamkan, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, banyak penumpang dihalang menaiki penerbangan walaupun mempunyai dokumen perjalanan sah.

Tindakan itu susulan serbuan terhadap penyeludupan migran selepas tragedi bot Greece 2024 yang meragut beberapa nyawa rakyat Pakistan.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati penumpang berkenaan dari Karachi, Lower Dir, Mardan, Swat, Bajaur, Bannu, Peshawar dan Gujrat, sudah berhubung dengan ejen.

Menurut media sama, mereka mengaku bahawa tujuan ke Malaysia adalah untuk mengambil pekerjaan haram.

Semasa pemprofilan imigresen pula, didapati penumpang yang ditemani seorang ejen, Mohammad Awais, tidak mempunyai wang tunai mencukupi dan tidak dapat menyediakan wang untuk mendapatkan visa.

Awais mendedahkan, visa lawatan diatur oleh ‘Waseem Khan’ dengan bantuan seorang ejen lain, Stephen, dan pembayaran dibuat melalui akaun bank.

Susulan itu, FIA kemudian menyerahkan penumpang itu kepada unit antipenyeludupan manusia untuk siasatan lanjut.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Lahore (LHC) mengingatkan FIA dan pihak berkuasa lain bahawa individu yang dihalang daripada perjalanan mesti diberikan sebab bertulis semasa tindakan diambil.

Sehingga kini, 51,000 penumpang sudah dihalang di lapangan terbang Pakistan selepas gagal pemeriksaan imigresen dengan sebilangan besar daripada mereka dihalang di lapangan terbang Lahore dan Karachi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top