September 8, 2024

FIB mula siasat dokumen KL City

FIB mula siasat dokumen KL City


FIRST Instance Body (FIB) akan memulakan siasatan serta-merta berhubung dakwaan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar mempertikaikan bagaimana lesen kebangsaan diberikan kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Syed Yazid menuntut penjelasan daripada FIB mengenai isu pelesenan pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Super 2024/2025 memandangkan pasukan itu bukan sahaja berdepan tunggakan gaji malah tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah hampir RM720,000 sejak Februari 2023.

Lantaran itu, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, siasatan segera akan dimulakan kerana terdapat percanggahan maklumat dinyatakan pihak pengurusan kelab itu berkaitan dengan kesahihan dokumen yang dikemukakan kepada FIB.

Beliau berkata, sebelum ini Jawatankuasa FIB memberikan lesen kepada KL City FC bagi musim 2024-2025 selepas melakukan semakan semua dokumentasi yang wajib termasuk kriteria kewangan.

“FIB telah menerima surat deklarasi daripada KWSP yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 28 Ogos 2023 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 30 Jun 2023 berserta dengan surat lampiran.

“FIB (juga) telah menerima surat deklarasi daripada KWSP yang dihantar oleh KL City FC bertarikh 29 Mac 2024 yang menyatakan tiada tunggakan bayaran setakat 31 Disember 2023 beserta dengan surat lampiran,” katanya menerusi kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

Sheikh Mohd Nasir berkata, oleh itu pihaknya telah memberikan lesen kepada KL City FC berdasarkan surat deklarasi pembayaran yang dikeluarkan oleh KWSP sendiri, sebelum ini.

Semalam, Syed Yazid berkata, perkara mengenai tunggakan KWSP sama sekali tidak dimaklumkan kepada ahli lembaga pengarah sama seperti isu tunggakan gaji yang melanda skuad itu sehingga mencecah tujuh bulan sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top