FIFA denda FAM RM1.8 juta, tujuh pemain warisan digantung isu pemalsuan dokumen

FIFA denda FAM RM1.8 juta, tujuh pemain warisan digantung isu pemalsuan dokumen


Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat selepas dijatuhkan hukuman oleh FIFA. FOTO:MALAYSIA NT

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melakukan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi badan induk dunia itu, FAM didapati telah mengemukakan pertanyaan kelayakan pemain kepada FIFA dengan menggunakan dokumen yang diubah suai bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu sebelum FIFA menerima aduan rasmi mengenai status kelayakan beberapa pemain terbabit.

Selepas meneliti bukti dan menjalankan prosiding penuh, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah memutuskan hukuman yang agak berat kepada FAM dan pemain warisan negara.

“FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) manakala tujuh pemain berkenaan dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000)

“Kesemua pemain turut digantung 12 bulan daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan itu.

Selain itu, isu kelayakan tujuh pemain terbabit untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia telah dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.

FIFA turut memaklumkan bahawa FAM dan pemain-pemain berkenaan sudah menerima notis rasmi keputusan tersebut pada Jumaat.

Mengikut peraturan FDC, mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh beserta alasan bertulis. Jika diminta, keputusan berkenaan akan diterbitkan di laman rasmi legal.fifa.com.

Bagaimanapun, keputusan tersebut masih boleh dirayu di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Ringkasan AI

  • Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan tegas oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen
  • FAM didenda CHF 350,000 manakala tujuh pemain dikenakan denda CHF2,000 dan digantung 12 bulan dari aktiviti bola sepak
  • Pemain terlibat termasuk Gabriel Felipe Arrocha dan Facundo Tomás Garcés
  • Isu kelayakan tujuh pemain untuk mewakili Malaysia dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA
  • FAM dan pemain berkenaan sudah menerima notis rasmi keputusan dari FIFA



Source link

OR

Scroll to Top